Igauan ‘diTaji’ 4-1 hantui Harimau Malaya

0
237
MUNGKINKAH jersi pilihan kedua biru merah ini membawa tuah buat Harimau Malaya sambil meninggalkan 'belang' tradisi kuning hitamnya.

Oleh KAKI BANGKU
 

LIMA tahun lalu, Tajikistan membelasah Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh 4-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di lamannya, Stadium Republik Tengah, Dushanbe.

Perlawanan tanggal 8 Ogos 2014 itu merupakan satu-satunya pertembungan skuad negara dengan lawan dari Asia Tengah yang kini dibimbing Usmon Toshev dan menghuni ranking ke-115 dunia.

‘Survivor’ dari Dushanbe itu yang masih bersama skuad Tan Cheng Hoe kini ialah Farizal Marlias, Aidil Zafuan Radzak, Khairulazhan Khalid dan Norshahrul Idlan Talaha serta Baddrol Bakhtiar.

Farizal, penjaga gol utama Malaysia juga sempat menampan satu sepakan penalti lawan manakala Amri Yahyah yang tidak lagi menyarung jersi negara, menjaringkan gol sagu hati pelawat.

Malam esok, pengalaman mereka berlimalah sekiranya diturunkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, amat ditagih untuk membimbing generasi baharu Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-158 dunia.

NOR Azam Azih (dari kiri), Tan Cheng Hoe saling bersalaman dengan jurulatih dan kapten Tajikistan, Usmon Toshev dan Nazarov Akhtam.

Kedua-dua pasukan ini juga cuba menajamkan semula sentuhan menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 apatah lagi masing-masing masih dihantui kekalahan aksi mutakhir Kumpulan F dan G, bulan lalu.

Malaysia kecundang 1-0 kepada Vietnam di Hanoi, 10 Oktober lalu manakala Tajikistan ditundukkan Jepun 3-0 di Dushanbe, lima hari kemudian lantas inilah detik tepat untuk bangkit dan memulihkan semangat serta keyakinan pasukan.

Tuan rumah akan menanti Thailand dan Indonesia, 14 dan 19 November ini di Bukit Jalil manakala Tajikistan yang mengumpul enam mata dan di tempat ketiga Kumpulan F akan bertandang ke Mandalay, Myanmar pada 14 November ini.

Kembalinya perantara Pahang, Nor Azam Azih selepas tersisih kerana kecederaan sebelum menentang Vietnam, turut dinanti-nantikan Harimau Malaya untuk bergandingan dengan Brendan Gan menjana ilham serangan.

Begitu juga Baddrol yang membantu Kedah muncul naib juara Piala Malaysia, minggu lalu dan menjaringkan gol kemenangan persahabatan dengan Maldives 2-1 di Seremban, Selasa lalu.

Agak lama perantara berusia 31 tahun ini tidak bersama skuad Cheng Hoe dengan kali terakhir di pentas antarabangsa ialah dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia Kumpulan B menentang Lebanon, Korea Utara dan Hong Kong, tahun lalu.

Skuad kita jelas tumpul di Stadium Nasional My Dinh dan jauh berbeza kerana kerap menyerang biarpun menyerah kepada Amiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 di Bukit Jalil mahupun ketika menumpaskan Indonesia 3-2 di Jakarta.

Shahrel Fikri Fauzi juga kembali pulih daripada kecederaan. Penyerang Perak yang pernah menyertai kelab Thailand, Nakhon Ratchasima tahun lalu ini diharap meluaskan pilihan penjaring negara selain Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad.

Jangan lagi dihampakan harapan dan kesetiaan para penyokong Harimau Malaya. Sebarang keputusan persahabatan esok, tetap bakal mempengaruhi ranking dunia kita lagi.

Ultras Malaya tidak rela lagi tertipu dengan kemenangan mudah 6-0 terhadap Sri Lanka (di ranking 202 dunia) dalam persahabatan tetapi lima hari kemudian tersungkur kepada Vietnam (97).

Ranking Tajikistan yang lebih tinggi wajar memberikan nilai tambah dalam mengasah taring Harimau Malaya menjelang misi lebih penting kelayakan apabila berdepan Gajah Perang dan Sang Garuda.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here