DEDAH… Sekitar 1,000 orang hidup gelandangan di sekitar jalan-jalan raya seluruh Singapura, menurut kajian pertama yang dijalankan untuk ukur sejauh mana keadaan itu di negara ini.

Jumlah golongan gelandangan yang tertinggi dilaporkan berada di Bedok, Kallang dan kawasan pusat bandar raya dengan setiap daerah mempunyai lebih 50 orang tanpa rumah.

Kajian sulung mengenai isu tersebut diterajui oleh Profesor Madya Ng Kok Hoe dari Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, lapor stesen penyiaran milik pemerintah, Channel NewsAsia.

Bagaimanapun kurang daripada 10 orang gelandangan dilihat di kawasan Bukit Panjang, Sembawang dan Sengkang. Kajian itu dapati bahawa 87 peratus gelandangan adalah lelaki.

Sekitar separuh daripada mereka dianggarkan dalam usia lingkungan 50-an tahun atau lebih tua dan 30 peratus sudah berpisah, bercerai atau menjadi balu, dengan jumlah serupa pula masih bujang.

Dalam laporan bertajuk, “Gelandangan di Singapura: Hasil hitung di jalan raya”, Kok Hoe berkata: “Perhatian awam terhadap isu itu semakin meningkat sejak beberapa tahun ini.”

Namun ujarnya, saiz golongan gelandangan di Singapura sejak dahulu lagi tidak pernah diketahui secara rasmi atau direkodkan pihak berkuasa republik tersebut.

Menurutnya, langkah pengukuran keadaan gelandangan dengan cara sistematik dan telus membolehkan penyelidik untuk sediakan panduan dari segi perancangan dasar dan khidmat.

Hampir separuh yang diwawancara yakni 47 peratus – berkata masalah pengangguran, pekerjaan tidak tetap dan gaji rendah adalah antara sebab mereka terpaksa hidup gelandangan.

Sekitar 37 peratus pula beri sebab konflik keluarga dan bercerai, manakala 27 peratus dedah masalah perumahan seperti tidak mampu bayar sewa dan pajak gadai atau sudah jual rumah.

Bagaimanapun sekitar 40 peratus golongan gelandangan berkata mereka ada rumah yang didaftarkan atas nama mereka sendiri manakala 15 peratus berkata mereka sewa flat awam.

Sejumlah 11 peratus berkata pernah membeli flat awam kelolaan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB). Bakinya berkata mereka sewa di asrama atau memiliki rumah di luar negara.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here