Cinta Muhammad SAW hingga ke Jannah

0
188
KONTINJEN Jabatan Pendaftaran Negara yang menyertai perarakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Bukit Jalil hari ini.
--fotoBERNAMA

 Oleh  ARRAZAQ NAZRI 

JIKA ada manusia yang  cintanya kepada kekasih, ibubapa, isteri mahupun isteri keduanya paling hebat setia dari dunia hingga ke Jannah , sesungguhnya mereka adalah insan yang nyanyuk  sebelum waktunya.

Jika hendak dibanding cinta Nabi Muhammad SAW kepada umatnya, cinta  manusia yang lemah itu hanyalah bersifat khayalan semata-mata.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW dan moyang baginda Nabi Ibrahim AS menjadi antara nama rasul yang menjadi sebutan setiap saat dan detik dalam kalangan umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Solat lima waktu yang wajib dikerjakan tidak akan sah jika tidak berselawat dan menyebut nama kekasih Allah yang maha esa.

Lupakah kita manusia zaman ini, akan jasa Nabi Muhammad SAW menegakkan syiar Islam hingga ia menjadi agama yang dianuti hampir separuh penduduk planet Bumi ini.

Lupakah kita siapa yang dihina, dikeji dan dilontar dengan batu dan diletakkan najis unta di belakang baginda hampir 1500 tahun lalu di Kota Mekah.

Siapakah yang terpaksa berhijrah dari kampung tercinta menuju Kota Madinah dari Kota Mekah hanya kerana ingin memastikan Islam terus dapat dikembangkan atas keimanan Nabi Muhammad SAW yang amat menyintai umatnya.

Hijrah bukan peristiwa kecil sebagaimana terciptanya kereta terbang mahupun terbinanya Burj Al Khalifah.

Peristiwa hijrah rasullullah bersama umat Islam yang dinamakan muhajirin dan dibawa ke Madinah untuk membina ketamaddunan baharu di bumi madani tersebut berjaya menyatukan masyarakat Ansar iaitu Aus dan Khazraj dengan muhajirin dari Mekah sebagai satu komuniti yang akhirnya membentuk asas bagi kehebatan Islam hingga dikenali di mata dunia hari ini.

Individu di sebalik bangunnya Islam di Madinah tidak lain dan tidak bukan adalah Nabi Muhammad SAW yang datang dengan kalimah syahadah iatu aku naik saksi tiada tuhan yang disembah selain Allah dan aku bersaksi nabi Muhammad pesuruh Allah.

Sempena maulidur rasul yang disambut tahun ini, kita sebagai umat Islam yang dirindui oleh baginda hampir 1500 tahun lepas sepatutnya menghargai, bahawasanya kita lahir sebagai orang Islam yang dijanjikan syurga Jannah.

Justeru bukan suatu perkara yang pelik apabila batang pokok tamar yang merupakan tumbuh-tumbuhan turut menangis kerana tidak lagi digunakan oleh baginda rasullullah sebagai sebahagian dari mimbar tempat khutbah jumaat dibacakan baginda. Begitulah mukjizat seorang yang berjiwa besar dan cintakan umatnya sehingga sang flora turut melahirkan rasa sedihnya.

Bagaimana pula cara kita ummah pasca milenium menghargai jasa baginda. Berselawat atau menjadi bahan debat semata-mata merasakan kita manusia yang hebat?

Adakah kita sudah mengerjakan solat wajib pada waktu subuh dan menunaikan solat sunat dhuha dua rakaat yang baginda lakukan semasa hayat baginda. Adakah bibir kita basah dengan selawat ke atas baginda sedangkan Allah SWT dan para malaikat turut sama membalas selawat yang sama ke atas baginda apabila kita mengucapkannya.

Pada saat maut diambang pintu, baginda masih memikirkan tentang umatnya dengan menyebut umatan (umatku) iaitu betapa rindunya baginda kepada umat yang belum lagi dilahirkan tetapi dibimbangi akan baginda nasib yang mereka tempuhi jika Islam tidak dihayati dengan penuh tawadduk.

Justeru, rugilah insan jika menilai baginda sebagai individu semata-mata bukannya anugerah Allah kepada alam semesta ini.

Sesungguhnya cinta paling suci baginda bersambut dari sejak islamnya ummul mukminin, Siti Khadijah Khuwailid isteri baginda yang juga ibu orang mukmin hingga lahirnya anak seorang muslim pada detik ini, namamu ya habibullah terus bersemarak dalam syahadah dan ibadah.

Pengorbanan baginda tidak ternilai dengan segunung dinar emas untuk kita umat Islam. Baginda membawa mukjizat Al-Quran yang mengandungi ayat-ayat cinta dari Allah dan dari cinta itu terpancar cahaya keimanan yang dizahirkan bukan sahaja dari syahadah tetapi azan yang berkumandang sepanjang masa di seluruh dunia yang mengajak kita menuju kejayaan dengan bersolat lima waktu sehari semalam.

Jika benar kita merasakan cinta Rasullullah SAW terlalu agung, bagaimana kita menyahut seruan cinta tersebut. Adakah sekadar meraikan maulidur rasul dengan berarak tetapi terlupa bahawa cinta baginda bermakna kita mencintai Allah SAW yang dicintai baginda yang juga. Itulah cinta yang sebenar-benar cinta yang disyariatkan hingga ke akhir zaman.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here