Siti Nurhaliza terangi kehidupan pesakit jantung

0
170
SITI Nurhaliza tak akan berhenti bekerjasama dengan Yayasan IJN untuk membantu kanak-kanak pesakit jantung.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MAMPUKAH Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumpul RM70,000 dalam tempoh dua bulan bermula 1 November lalu. Semua itu tidak menjadi halangan kepada penyanyi nombor satu negara untuk merealisasikan impiannya bagi membantu lima kanak-kanak pesakit jantung.

Kanak-kanak yang terpilih untuk menjalani pembedahan dalam waktu terdekat ini ialah Mugilan Ramesh Rao, 2, Siah Wan Ying, Nurul Syamimi Ahmad Paridon, Auni Insyirah Muhammad Firdaus Hilmi dan Nur Auni Mardhiyah Ahmad Hanafi, masing-masing berumur 4 tahun.

Ini bukan kali pertama Siti menghulur bantuan untuk membantu anak-anak pesakit jantung. Beliau telah memulakan kerja-kerja amal itu sejak 2011 bersama Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) menerusi produk SimplySiti.

Sejak memulakan kempen tersebut, Siti selaku presiden SimplySiti berjaya mengumpul dana melebihi RM200,000 yang disalurkan kepada tabung Yayasan IJN untuk membiayai kos pembedahan 14 oang kanak-kanak pesakit jantung kurang berkemampuan.

Jelas Siti, beliau boleh merasai perasaan ibu yang risau akan kesihatan anaknya. Beliau telah lalui itu sewaktu anaknya, Aafiya ditahan di wad kerana demam. Malah beliau kagum dengan ketabahan ibu yang menjaga anak yang menghidap sakit jantung.

“Alhamdulillah Siti rasa bersyukur kerana rezeki SimplySiti ni sebenarnya Allah berikan mungkin sebab adanya kempen yang kita buat ini untuk membantu anak-anak yang kurang bernasib baik ini.

“Kerana itu kita memang nak sambung kempen yang kita buat ini sampai bila-bila sebab perasaan puas dan gembira itu tak boleh kita nilaikan dengan wang ringgit dan kata-kata sebab selepas jadi ibu ini, perasaan syukur lain macam bila tengok anak-anak yang memerlukan bantuan itu dapat kita tolong,” kata Siti menyuarakan rasa hatinya.

Tambah Siti, kalau ikutkan senarai IJN ramai yang memerlukan bantuan kewangan untuk melakukan pembedahan. Sejak 2011 pihak SimplySiti banyak berurusan dengan IJN, untuk mengetahui perkembangan kanak-kanak yang telah selamat menjalani pembedahan dan siapa yang bakal menjalani pembedahan seterusnya.

“Dana yang mereka perlukan setengahnya dibiayai oleh IJN dan pihak IJN juga memerlukan bantuan dan sokongan daripada syarikat lain. Alhamdulillah ada kolaborasi SimplySiti dengan IJN, Siti rasa ini sebagai salah satu cara Siti nak memberi semula kepada masyarakat.

“Terutamanya yang melibatkan kanak-kanak kerana mereka ini yang akan menjadi pelapis kita. Mereka ada masa depan lebih panjang dan perlu kehidupan yang lebih baik dan itu yang kita tetapkan sampai sekarang untuk bantu kanak-kanak,” katanya tentang perancangan SimplySiti.

Untuk tahun ini kempen SimplySiti Di Hati 2019 menyasarkan RM70,000 untuk lima orang kanak-kanak dan kalau dapat lebih daripada itu adalah bonus.

“Sebelum ini pun kita sasar RM50,000 tapi kita bagi lebih sebab dana yang terkumpul melebihi sasaran. Setiap kali memilih pesakit yang hendak dibantu, pihak IJN yang tentukan dan pemilihan tidak dibuat mengikut agama atau bangsa, sebaliknya kepada siapa yang memerlukan terlebih dahulu.

“Pembedahan bermula bulan ini hinggalah Disember. Tahun lepas, kita mulakan pembedahan dulu sebelum kita kumpul dana. Setakat ini alhamdulillah, anak yang kita bantu sudah 14 orang dan telah menjalani kehidupan seperti anak normal tapi tetap kena buat pemeriksaan selalu,” cerita Siti.

Sempena kempen yang dilancarkan itu, single baharu Siti yang berjudul Terang dipilih sebagai lagu tema kempen SimplySiti Di Hati 2019. Lagu Terang merupakan ciptaan komposer Aubrey Suwito dan lirik oleh Shah Shamshiri.

Jelas Siti, sebelum adanya idea untuk kempen ini, pihaknya belum buat pilihan tentang lagu tema untuk kempen tersebut. Selepas mendengar lagu yang diberi oleh Aubrey, baru terfikir untuk jadikan lagu tersebut sebagai lagu tema kempen.

SITI Nurhaliza bersama kanak-kanak yang dipilih untuk menerima sumbangan sempena kempen SimplySiti bagi menjalani pembedahan jantung.

“Siti suka lagu tu sebab ia catchy dan muziknya sekali dengar dah boleh masuk terutama bahagian korus. Kebetulan liriknya pun positif. Siti nak lagu-lagu yang lirik positif dan dalam masa yang sama Siti rancang nak siapkan album.

“Itu yang terjadinya lagu Terang dan kebetulan pihak SimplySiti sedang mencari lagu kempen dan tengok pada lirik dan kena sangat. Terus Siti rakamkan lagu ini dalam masa buat persiapan untuk konsert Adelaide,” katanya.

Jelas Siti, beliau bernasib baik kerana boleh membantu orang lain dengan statusnya sebagai artis. Malah katanya, rakyat Malaysia sebenarnya amat prihatin sebab kempen yang pihaknya lakukan sebelum ini mendapat sambutan daripada orang ramai yang ingin membantu.

“Siti bernasib baik sebab ada platform sebagai artis dan boleh mengajak peminat dan pengguna SimplySiti untuk sama-sama dengan Siti. Siti percaya kalau ada yang nak tolong, kadang-kadang mereka menggunakan saluran terus ke akaun keluarga. Tengoklah bila viral saja orang sakit, berpusu-pusu orang nak membantu, tak banyak sikit.

“Bagi Siti, kita perlukan lebih ramai lagi insan-insan yang berpengaruh untuk tolong mereka yang sangat memerlukan. Siti rasa rakyat Malaysia memang prihatin dan bergantung kepada cara mereka untuk membantu,” katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan untuk kempen ini bolehlah membeli produk SimplySiti. Setiap pembelian RM120 produk SimplySiti termasuk BeauSiti, sebanyak RM5 akan disalurkan ke Yayasan IJN.

Malah pembeli akan turut menerima Di Hati 2019 Gift Box Eksklusif bernilai RM100 yang mengandungi sebatang gincu dan beberapa baucar istimewa secara percuma. Pada masa yang sama mereka juga berpeluang memenangi dua jemputan eksklusif ke Fun Day Out Bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza melalui peraduan Derma dan Menang.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here