Matt, Syahmi saingi slot bek kanan

0
165
SYAHMI Safari (4), pemenang Anugerah Gol Terbaik AFF, perlu bersaing dengan Matthew Davies di posisi bek kanan negara.

Oleh KAKI BANGKU

TAN Cheng Hoe merombak kesebelasan utama Harimau Malaya yang menumpaskan Tajikistan 1-0 dalam perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang bakal dipraktikkannya lagi apabila menyambung pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G.

Khairulazhan Khalid sudah dua kali diuji ketua jurulatih itu di gawang sebagai pengganti Farizal Marlias termasuk menewaskan Maldives 2-1, Selasa lalu dan tampak penjaga gol setinggi 1.82 meter ini akan terus menjadi pilihannya bagi menentang Thailand, Khamis ini dan Indonesia, 19 November.

Empat gol yang membolosi Farizal sepanjang skuad negara menewaskan Indonesia 3-2 dan tumpas kepada Amiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 dan Vietnam 1-0 dalam kelayakan ini, dianggap sudah menemui penawarnya pada pesaingnya dari Selangor itu.

Namun bagaimana pula posisi bek kanan milik Matthew Davies dari Pahang dan benteng Selangor, Syahmi Safari yang kali ini ditolak drastik ke sayap kanan sedangkan Safawi Rasid atau Mohamadou Sumareh secara bergilir-gilir yang mengisinya sebelum ini?

Matthew masih bagus dan tepat dalam mencipta umpanan lintang biarpun sesekali mudah ditembusi penyerang lawan namun Syahmi jika kembali ke bek kanan, lebih pantas melakukan larian dan rembatan kencang apatah lagi baru mendapat suntikan moral, dianugerahkan Gol Terbaik Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), semalam.

SAFAWI Rasid (11) melakukan rembatan kidal deras yang membenam Tajikistan 1-0, semalam.

Dari sebelah kanan itu juga, Safawi membocori gol Tajikistan dengan rembatan kidal berbisanya pada minit ke-72 selepas menerima hantaran jauh lambung Brendan Gan sekali gus mengesahkan slot masing-masing dalam barisan utama biarpun mereka masuk sebagai pemain gantian.

Cheng Hoe pasti telah menilai sejauh mana sumbangan Nor Azam Azih dan Baddrol Bakhtiar mahupun Syamer Kutty Abba dalam menjana asakan Harimau Malaya terhadap pelawat dari Asia Tengah yang menghuni ranking ke-116 dunia dan tempat ketiga Kumpulan F kelayakan itu.

Jelas sekali Baddrol yang memerlukan lebih banyak masa untuk kembali ke tahap terbaiknya dalam bersaing di pentas antarabangsa setelah sekian lama terpinggir daripada percaturan pasukan. Maaf Bad, pertaruhan terbaik kita di ‘ruang enjin’ tatkala berdepan Thailand dan Indonesia ialah Azam, Brendan dan Syamer.

Di bahagian serangan, tiada masalah besar untuk mengekalkan Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad kerana bola sepak moden amat menagih tempo pantas yang menepati ciri-ciri kedua-dua pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT) ini. Perlu diakui bahawa Thailand pun menggemari corak begini.

Tempo tersebut juga pasti telah mematangkan Cheng Hoe dengan UAE dan Vietnam menjadi ‘gurunya’ di Bukit Jalil dan Hanoi, 10 September dan 10 Oktober lalu. Skuad kita dihukum dengan serangan balas kilat dan gol pantas yang diilhamkan jurulatih Belanda dan Jepun.

Sekalipun Norshahrul Idlan Talaha masih cuba dipertaruhkan Cheng Hoe semalam, kemahiran dan pengalaman penyerang berusia 33 tahun itu mungkin lebih layak digunakan sekiranya pasukan dalam keadaan dan masa terdesak sahaja.

Sudah tiga perlawanan pusingan kedua kelayakan tetapi masih tanpa gol sedangkan kerap membarisi kesebelasan utama bererti mesejnya ialah, “Matyo, sila berehat di bangku dulu!”

Sebagai senior yang sudah menjulang Piala AFF 2010 dan menyarung aneka jersi, mungkin kreativiti dan pemerhatiannya dari luar padang, lebih tajam dan boleh menampung apabila Syafiq dan Mat Yat (Akhyar) kurang ampuh dan tandus ilham.

Jadual Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023

(*Malaysia sahaja)
Khamis: MALAYSIA lawan Thailand
19 November: MALAYSIA lawan Indonesia
(Semua sepak mula 8.45 malam, Stadium Nasional, Bukit Jalil)

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here