Emas Sukan SEA atau sila berundur, Kim Swee

0
345

Oleh KAKI BANGKU

AGAK tenggelam persediaan skuad Bawah 22 Tahun negara ke Sukan SEA Filipina yang bermula 25 November ini jika dibandingkan ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah temasya serantau itu tahun lalu.

Tambahan pula tumpuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih terarah kepada Harimau Malaya bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan dua skuad remaja 15 dan 18 tahun kita menghadapi Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Skuad Kim Swee sudah pun mengucapkan selamat tinggal kepada Kejohanan B22 AFC 2020 di Thailand gara-gara terkandasnya mereka pada peringkat Kumpulan J kelayakan di Stadium Shah Alam, Mac lalu.

Mereka mencatat rekod tidak kalah selain menewaskan Laos 1-0 dan Filipina 3-0 tetapi hanya menghuni tempat kedua kerana perbezaan gol yang ketara dengan China, 13 berbalas empat termasuk diikat lawan 2-2 menafikan tiket pusingan akhir itu.

Buat kali kelimanya Datuk Ong Kim Swee diamanahkan membimbing skuad B22 dalam Sukan SEA dengan pencapaian terbaiknya ialah mempertahankan pingat emas di Jakarta 2011 menerusi kemenangan penalti penentuan 4-3 terhadap Indonesia.

Namun Kim Swee & Co. pulang dengan tangan kosong daripada Sukan SEA Naypyidaw 2013 dan Singapura 2015 sebelum sedikit kesilapan penjaga gol, Haziq Nadzli menyerahkan ibu segala emas Kuala Lumpur 2017 dan kemenangan 1-0 kepada Thailand dalam final di Shah Alam.

Justeru FAM perlu meletakkan hanya pingat emas sebagai indeks prestasi utama (KPI) kepada kedudukan Kim Swee sebagai ketua jurulatih B22 negara memandangkan graf prestasi pasukannya yang kurang menggalakkan sejak 2011!

Jika warna pingatnya menurun, sudah sampai masanya buat jurulatih kelahiran Melaka berusia 49 tahun itu mengemaskan barang-barangnya di Wisma FAM dan mulai menghitung nasibnya dengan pasukan-pasukan Liga Super atau Perdana 2020.

Sudahlah mereka terlepas daripada bertemu lebih awal dengan dua pasukan pilihan, Thailand atau Vietnam yang turut dibimbing jurulatih import Jepun dan Korea Selatan, Akira Nishino dan Park Hang-seo.

Kedua-duanya melatih skuad senior masing-masing dalam aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang masih berentap dengan skuad Tan Cheng Hoe sejak 5 September lalu. Tidak dilupakan ialah musuh tradisi, Indonesia – pemenang gangsa 2017.

Tiada alasan lagi boleh melindungi skuad Kim Swee sekiranya mereka gagal melepasi peringkat Kumpulan A Sukan SEA yang hanya mengandungi tuan rumah, Filipina selain Myanmar, Kemboja dan Timor Leste apatah lagi hanya bermain empat kali dan berehat lebih panjang berbanding Kumpulan B.

Namun agak menarik ialah Sukan SEA buat kali pertamanya membenarkan penggunaan khidmat dua pemain lebih umur 22 tahun sejak saingannya diturunkan dari peringkat senior selepas Sukan SEA Brunei 1999.

Beberapa tonggak Harimau Malaya yang masih berusia bawah 22 tahun dan kekal disandarkan Kim Swee ialah Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba, Syahmi Safari dan Danial Amier Norhisham serta Dominic Tan Jun Jin.

Malah disebut-sebut akan tampil memperkasa skuad ini ialah pemain berdarah Malaysia kelahiran Illinois, Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal yang kini mewakili kelab Liga Bola Sepak Utama (MSL), Sporting Kansas City.

FAM turut menamakan seorang lagi pemain kacukan yang beraksi dengan kelab Central Coast Mariners, Australia – Quentin Chang selain Hadi Fayyadh Razak (Fagiano Okayama, Jepun) dalam skuad 28 pelatih Sukan SEA sejak 4 November lalu.

Juga tersenarai ialah Luqman Hakim Shamsudin, penyerang remaja yang meledak aneka gol hebat dalam saingan Kumpulan G Kelayakan B19 Asia di Phnom Penh, minggu lalu dan bakal beraksi dengan kelab Belgium, KV Kotrijk tahun depan.

Sepanjang sejarah penyertaan Sukan SEA, kita sudah mengumpul enam ‘ibu segala emas’ ini iaitu pada 1961 (Rangoon), 1977 (Kuala Lumpur), 1979 (Jakarta), 1989 (Kuala Lumpur), 2009 (Laos) dan 2011 (Indonesia).

Aksi bola sepak lelaki dan wanita akan dilangsungkan di Stadium Kompleks Sukan Peringatan Rizal dan Stadium Bola Sepak UP (Manila) dan Stadium Bola Sepak Binan, Laguna.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here