Oleh ARRAZAQ NAZRI

SEJAK kebelakangan ini, ungkapan seseorang itu dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan demikian semakin popular dan digunakan sewenang-wenangnya untuk ‘melindungi’ seseorang daripada kesalahan yang disabitkan.

Tidak dinafikan bahawa ungkapan itu benar tetapi biarlah mahkamah yang menentukan kerana itu peranannya.
Penentuan bersalah atau tidak biarlah ditentukan oleh mahkamah dan sememangnya menjadi tugas peguam bela untuk membela klien mereka.

Ungkapan berkenaan tidak salah tetapi biasanya ia dilontar oleh pengikut atau pihak yang berkepentingan untuk melindungi pemimpin atau pengikut mereka yang disabit dengan kesalahan supaya mereka tidak dicacatkan oleh tanggapan umum.

Pandangan terhadap sesuatu kes yang sedang berlangsung boleh jadi mengganggu keputusan atau yang dibuat oleh sesebuah mahkamah yang mulia.

Dari sudut perundangan, ia dinamakan subjudice dan pihak yang mengeluarkan kenyataan berbentuk menghakimi boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.

Sebelum kita membuat sebarang ulasan membuta tuli kerana ingin mempertahankan seseorang yang kita suka atau pengikut atau pemimpin kita yang dikaitkan dengan kesalahan, elok kita mengambil langkah yang berhati-hati. Lagipun, kata orang, terlajak kereta boleh di undur tetapi terlajak kata mungkin membawa mudarat kepada diri sendiri.

Hari ini di media sosial, ramai yang menjadi ‘hakim’ tidak bergaji termasuk bijak pandai dalam bidang perundangan. Pandangan mereka mungkin betul tetapi bukan tugas mereka untuk berbuat demikian, apa guna ada mahkamah sekira kewujudannya tidak dihormati.

Kenapa tidak kita lepaskan tanggungjawab besar untuk membuat keputusan kepada hakim kerana dibayar gaji oleh rakyat untuk berbuat demikian. Dan, peguam bela mempunyai peluang yang cukup luas untuk mempertahankan kliennya.

Tidak perlulah dilontarkan dakwaan wujudnya komplot atau cubaan seumpamanya kerana bukan mudah untuk berbuat demikian dan perkara itu juga perlu dibuktikan dan bukan sekadar sangkaan semata-mata.

Kadangkala kes pendakwaan menjadi kukuh kerana kerja keras yang dilakukan, barangkali peguam bela juga perlu mempunyai momentum yang sama.

Tambahan pula, yang benar tetap benar dan begitulah sebaliknya.

*Penulis ialah seorang bekas peguam

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here