GAMBAR atas: Penerbit filem, Datuk Yusof Haslam (lima kiri belakang) bersama Pengerusi Reliance Media Group Sdn Bhd, Datuk Seri Alan Kuang (empat kiri belakang) dan Ketua Pegawai Eksekutif Reliance Media Group Sdn Bhd, Datuk Jacky Poh (enam kiri belakang) bergambar bersama para pelakon filem Mahathir pada sidang media dan pelancaran filem Mahathir The Journey di Shareton PJ. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

MELIHAT judul ‘Mahathir The Journey’ (MTJ) yang bakal memulakan penggambaran pada 15 Disember ini, pasti ada yang beranggapan filem arahan Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan itu berkisar tentang dunia politik Perdana Menteri Malaysia.

Menyedari akan timbul pelbagai spekulasi, awal-awal lagi Hatta menjelaskan bahawa MTJ yang bakal diarah bersama Chan Wai Cheong itu adalah filem kisah seorang legenda dan bukan perihal politik.

Filem terbitan Reliance Media Group Sdn. Bhd., yang menelan belanja kira-kira RM6 juta itu sebagai penghargaan kepada Tun Mahathir Mohamad, figura paling tua menjawat jawatan Perdana Menteri dan dua kali memikul tanggungjawab tersebut tanpa menyentuh mana-mana parti politik.

“Banyak perkara dan aspek yang perlu dikaji dan diteliti daripada pelbagai sudut pandangan dan kepentingan. Jalan cerita filem ini bermula dari tarikh Tun Mahathir meletak jawatan dan meneruskan perjuangan dari luar.

“Kami merasakan bahawa manusia ini sangat luar biasa. Dia pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, disanjung dan sekali gus dikecam, dicerca dan dipersalahkan bila tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

“Ramai yang tidak tahu perkara-perkara yang berlaku di sebalik tabir bila Tun kembali aktif dalam arena politik tanah air, ramai yang mencemuhnya,” jelas Hatta yang memberitahu skrip untuk filem itu telah dirombak sebanyak 12 kali.

Jelas Hatta, dalam filem yang bakal menjalani penggambaran di Putrajaya, Langkawi, Kedah dan Hiroshima, Jepun itu beliau lebih mengutamakan aspek kehidupan dan perjuangan politik Tun Mahathir.

KELUARGA ‘Anwar Ibrahim’, dari kiri Hilal Azman, Dian P.Ramlee dan Lisdawati./ Foto: NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN.

“Ada empat aspek utama dalam kehidupan dan perjuangan politik Tun Mahathir. Perjuangannya menggubah minda orang Melayu, membangunkan sebuah negara yang bersifat kepelbagaian kaum, budaya dan bangsa.

“Selain itu saya suka menyentuh tentang kerukunan rumah tangga beliau dengan hanya seorang isteri yang sentiasa mendampingi dan menyokong kerjayanya dan pengiktirafan serta kekaguman dunia terhadap idea dan kepimpinan Tun M,” jelas Hatta pada sidang media dan pelancaran filem MTJ, Isnin (10 November 2019), baru-baru ini.

Kata Hatta, filem yang menampilkan Azhar Amir sebagai Tun Mahathir dan Fauziah Latiff sebagai Tun Siti Hasmah Mohd. Ali itu bakal menjalani penggambaran selama 44 hari.
Meskipun sudah berpengalaman dalam bidang pengarahan, Hatta berkata, MTJ bukanlah satu projek mudah kerana filem yang bakal ditayang Julai 2020 itu berkaitan negarawan ulung, seorang ahli politik yang pintar dan sekali gus seorang pemimpin yang pencapaiannya telah dikagumi dunia luar.

DARI kiri, Ning Baizura, Fauziah Latiff, Azhar Amir dan Afique Hussain.

“Ini satu projek yang perlu saya tangani dengan sebaik-baiknya. Ada perasaan takut dalam diri tapi perasaan itulah yang turut menjadi satu cabaran yang mesti saya atasi dengan segala ketelitian.

“Hingga kini lebih dari tujuh bulan kami mengatur persiapan menyiapkan skrip, meninjau lokasi penggambaran dan mengadakan uji bakat. Mencari penaja dan macam-macam lagi. Semua orang bekerja keras untuk mencipta satu lagi sejarah untuk direnung bangsa, negara dan dunia,” katanya.

Lain-lain pelakon yang terbabit dalam filem ini ialah Afique Hussain sebagai Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Dian P.Ramlee (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah), Qazem Nor (Sofi), Ridzuan Hashim (Datuk Sapin) dan Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman).

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here