FOTO: wikimedia commons.

Oleh YUSOFF AHMAD SHARIFF

 

PEKERJA di negara ini bakal mengalami penyusutan besar kenaikan gaji berbanding tahun-tahun sebelumnya, iaitu kepada 2.9% daripada 4.0% pada 2019.

Menurut syarikat perunding tenaga manusia, ECA International, walaupun dinyatakan bahawa kenaikan gaji nominal yang diramalkan akan berada pada kadar 5.0%, inflasi di negara ini dijangka akan naik daripada 1.0% kepada 2.1%, justeru bakal menjejaskan kadar  kenaikan gaji sebenar bagi pekerja di sini.

Akhbar The Star memetik Pengarah Serantau ECA International (Asia) Lee Quane berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam bahawa walaupun kadar masih secara relatif agak tinggi, namun kadar kenaikan gaji sebenar yang rendah berbanding 2019 menyaksikan Malaysia jatuh dan terkeluar daripada senarai 10 prestasi terbaik Asia-Pasifik dan global.

ECA juga mendapati bahawa negara-negara Asia mendahului sekali lagi dalam kenaikan gaji, dengan 31 daripada 20 prestasi tertinggi dicatatkan di Asia dan antara lima terbaik secara global.

Ekonomi baharu muncul, seperti Vietnam dan Thailand akan terus menyaksikan kenaikan kadar gaji kerana gaji-gaji nominal yang dijangka akan diberikan oleh majikan akan bertahan pada tahap mengatasi kadar inflasi rendah yang bakal dialami oleh kedua negara berkenaan pada 2020.

Menurut Quane ini merupakan trend jangka panjang bagi kedua-dua negara kerana produktiviti terus berkembang dan inflasi berada dalam keadaan terkawal.

China juga akan mengalami keadaan positif dan dijangka berada pada paras lebih tinggi daripada purata global dan serantau, iaitu 3.6%.

Tambah Quane lagi, walaupun terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa ekonomi China akan meleset sedikit berikutan perang perdagangan dengan Amerika Syarikat, namun kadar kenaikan gaji masih teguh. China mengekalkan kedudukannya dalam senarai 10 negara tertinggi mencatatkan kenaikan gaji.

Bagi Singapura pula, kenaikan purata gaji sebenar diramalkan berada 3.0% mengatasi inflasi pada 2020, dengan hanya kejatuhan kecil daripada 3.3% yang dicatatkan pada 2019.

India sekali lagi mendominasi ranking untuk kenaikan purata gaji sebenar di Asia.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here