Tahfiz: Kita gagal belajar daripada kesilapan lalu

1
339

Oleh Ahmad Abdul Hamid

SEKALI terkena kali kedua tidak beringat. Mungkin ini perbandingan terbaik berhubung isu yang melanda sekolah tahfiz negara ini.

Insiden terbaharu ialah kematian pelajar tahfiz, Muhamad Aimin Nurul Amin, 7, di Madrasah Nahdhah Syubban Addiniyah di Kampung Kuala Kuang, Lancang, Pahang baru-baru ini.

Peristiwa ini adalah satu lagi rentetan kisah duka berlaku di tahfiz setelah pelbagai kes dilaporkan sebelum ini seperti penderaan, buli, malah kes seksual.

Sekalipun sudah banyak insiden seperti ini berlaku di tahfiz, ia bagai tidak diambil iktibar.

Apabila berlaku sesuatu insiden, heboh ia diperkatakan dengan masyarakat memberi pelbagai reaksi.

Keadaan kembali senyap dan dilupakan sehinggalah ada kejadian lain berlaku untuk jadi heboh kembali.

Jelas bagai tiada pengajaran diambil dalam menangani kejadian daripada berulang sedangkan pusat-pusat tahfiz pula semakin rancak tumbuh di sana sini.

Banyak antara tahfiz ini beroperasi tanpa berdaftar dengan pihak berwajib.

Kerana itu sukar untuk memantau dan memastikan ia beroperasi menurut garis panduan dan peruntukan undang-undang.

Pihak berkuasa secara bersendirian sukar mengesan dan bertindak tegas ke atas tahfiz tidak berdaftar. Sehubungan itu, kerjasama masyarakat sekeliling amat diperlukan.

Masyarakat perlu peka dan melaporkan jika ada tahfiz beroperasi tidak berdaftar di kawasan mereka. Jangan bersikap tidak endah.

Jadilah kelompok masyarakat yang prihatin. Ambil pengajaran setiap insiden yang pernah berlaku di tahfiz dan bantu elakkan ia daripada berulang.

Mereka yang berhasrat membuka tahfiz mestilah telus dan menurut peraturan. Hanya mereka yang berniat serong sahaja enggan mendaftar. Tindakan tegas mesti diambil jika dikesan.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, urusan berkaitan agama adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Oleh itu semua tahfiz di negara ini perlu berdaftar dengan jabatan dan majlis agama Islam setiap negeri.
Memetik Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Mohd Noor, pengusaha tahfiz enggan mendaftar kerana bimbang aktiviti mereka dipantau jabatan atau majlis agama Islam.

Sebenarnya, kenapa perlu bimbang jika pengusaha benar-benar jujur mewujudkan tahfiz untuk memberi pendidikan?

Pemantauan pihak berkuasa bertujuan memastikan tahfiz beroperasi dengan telus, menurut peraturan dan benar-benar bermatlamat memberi pendidikan.

Malah dengan pemantauan ini membolehkan pihak berkuasa memberi bantuan jika perlu serta menyemarakkan perkembangan tahfiz itu sendiri.

Sampai bila kita harus mendengar pelbagai insiden buruk di pusat tahfiz? Pihak berwajib perlu segera mengatasinya sebelum keadaan menjadi di luar kawalan.

BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

  1. Berbalik kepada konsep penawaran dan permintaan.
    Tahfiz tidak berdaftar tumbuh dengan gah kerana tahu ada permintaan untuk nya
    Apatah pula menjual nama agama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here