PUTRAJAYA — Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melaksanakan usaha transformasi strategik sejak Februari/Mac tahun ini untuk memulihkan imejnya.

Anggota Lembaga CAAM, Afzal Abdul Rahim berkata pelan penambahbaikan untuk memulihkan kredibiliti CAAM sebagai badan yang dihormati sedang dijalankan, dan langkah itu akan mengambil masa dua hingga tiga tahun.

Ketika ditanya mengenai sebab khusus sehingga mendorong status CAAM diturunkan kepada Kategori 2 di bawah ranking Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat bagi keselamatan udara, beliau memberi pelbagai aspek.

Memandangkan CAAM telah diubah menjadi sebuah badan berkanun sejak Februari tahun lepas, terdapat banyak cabaran serta halangan dalam usaha meminda perundangan, katanya kepada pemberita di sini semalam.

“Halangan pertama ialah kita perlu meminda beberapa undang-undang, kedua, menentukan sama ada peraturan penerbangan kita perlu dikemaskinikan dan ketiga ialah peruntukan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi CAAM, Ahmad Ridzwan Mohd Salleh berkata selepas perubahan itu, agak sukar bagi CAAM (untuk beroperasi) kerana kekurangan tenaga teknikal yang berkelayakan.

Beliau berkata sebagai agensi kerajaan, CAAM terpaksa bergantung kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk sumber manusia dan Jabatan Akauntan Negara bagi kewangan.

Dalam usaha bergerak maju, CAAM akan melihat kepada model dibayar pengguna dan model mendapatkan semula kos yang disokong oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

Beliau berkata penting untuk memenuhi keperluan kewangan yang semakin meningkat dan menghapuskan pergantungan CAAM kepada kerajaan dalam mendapatkan dana.

Seorang lagi Anggota Lembaga CAAM, Datuk Razali Mahfar berkata beberapa masalah yang dihadapi, yang menyumbang kepada penurunan taraf kepada Kategori 2 FAA, adalah disebabkan kekurangan tenaga teknikal dan bakat yang berkelayakan selain teknologi.

“Tugas CAAM kini adalah keluar daripada skim pembayaran kerajaan. Bagi melaksanakannya kami mesti mencari sumber kewangan sendiri sekali gus CAAM boleh bergerak ke peringkat seterusnya, iaitu menjadi badan berkanun yang bebas.

“Dalam mencapainya, kita seharusnya tidak memerlukan subsidi kerajaan dan kekal menjadi entiti dengan kewangan sendiri. Kita memerlukan pengguna (iaitu peserta industri) membayar. Ini bererti industri mesti, membiayai operasi badan ini,” katanya.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here