Gajah Perang bukan kebal – Aidil

1
260
SYAFIQ Ahmad (20), Safawi Rasid (11) dan Norshahrul Idlan Talaha ditagih menggempur benteng kebal Gajah Perang yang hanya dibolosi satu gol setakat ini.

Oleh KAKI BANGKU

KAPTEN negara, Aidil Zafuan Radzak menegaskan tiada mana-mana lawan yang tidak boleh dikalahkan termasuk Thailand yang mengejutkan pilihan utama, Amiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 di Pathum Thani pada 15 Oktober lalu.

“Siapa pun lawannya, kami tetap lawan. Tiada jalan mudah buat Thailand. Apa yang penting esok ialah bagaimana pemain negara hendak bersatu hati sebagai sebuah pasukan.

“Bagi saya, dalam dunia bola sepak tiada pasukan yang tidak boleh dikalahkan. Liverpool (pendahulu Liga Perdana England -EPL) pun boleh kalah jadi tidak mustahil Thailand juga begitu,” kata bek tengah Johor Darul Ta’zim ini.

Aidil, 32, mengulas menjelang pertembungan Harimau Malaya-Gajah Perang yang juga pendahulu Kumpulan G pusingan kedua kelayakan itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok sambil ditemani ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Anak jati Seremban, Negeri Sembilan ini buat kali pertamanya juga akan mengambil alih lilitan lengan kapten daripada Farizal Marlias seperti mana ketika Malaysia menewaskan Tajikistan 1-0 dalam perlawanan persahabatan di Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Ditanya mengenai kemampuan penyerang Thailand, Teeratep Winothai yang bakal mengancam benteng negara, katanya, “dia bagus dan berpengalaman. Kebanyakan pemain lawan sekarang juga sudah berbeza dari ketika Piala AFF 2018.

“Kami akan kaji kekuatan dan kelemahan Thailand dalam tiga perlawanan kelayakan ini (termasuk seri dengan Vietnam 0-0 dan membenam Indonesia 3-0),” katanya yang hanya mula dipanggil Cheng Hoe apabila berdepan Vietnam di Hanoi, 10 Oktober lalu.

Teeratep, 34, pernah beraksi dengan skuad belia kelab EPL seperti Everton dan Crystal Palace, dikatakan bakal menjadi pertaruhan utama barisan depan Thailand yang kini dicatur jurulatih dari Jepun, Akhira Nishino.

Cheng Hoe pula menyifatkan pemain Chonburi United itu sebagai cukup berbahaya buat barisan negara apatah lagi dengan dibimbing Nishino, jurulatih yang membawa Samurai Biru ke pusingan kedua Piala Dunia 2018.

“Thailand ada jurulatih ternama, mereka pasti lebih bersemangat dan kreatif. Kami kena awasi dan bersedia hadapi serangan lawan dengan sikap, taktikal dan sokongan yang tepat namun bukan hanya dia yang akan kami tumpukan,” tegasnya.

Dia juga mengakui banyak kritikan penyokong yang dilemparkan kepada penjaga gol dan barisan depan Harimau Malaya sepanjang tiga perlawanan awal terutama ketika dikalahkan UAE 2-1 di Bukit Jalil dan Vietnam 1-0.

“Azam saya ialah meningkatkan prestasi secara sepasukan. Saya tidak menganggapa kedua-duanya elemen kelemahan yang kritikal kerana semua posisi perlu ada kemajuan dal setiap perlawanan,” katanya.

Kali terakhir pertembungan mereka menyaksikan skuad Cheng Hoe mengikat lawan 2-2 dalam separuh akhir Piala AFF di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok sekali gus mara ke final, Disember lalu dengan peraturan gol tempat lawan.

Nishino pula berkata, tidak semestinya corak permainan Thailand kini berwajah ala Jepun kerana bukan senang untuk menerapkannya biarpun mereka mendahului Kumpulan G dengan tujuh mata dan memintas UAE yang dibimbing jurulatih Belanda berpengalaman Piala Dunia.

“Untuk layak ke pusingan seterusnya, kami fokus satu persatu perlawanan kumpulan ini. Bukan senang untuk pasukan amalkan falsafah bola sepak saya, perlukan masa juga dan yang penting kami meningkat setiap perlawanan,” katanya.-Bebasnews

Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here