GAMBAR: Perdana Menteri merangkap Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamed bersalaman dengan ahli ketika menghadiri majlis Perjumpaan Bersama Ketua-ketua PDM Pakatan Harapan di Pontian. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Oleh ARRAZAQ NAZRI

SEHARI dua ini kecoh mengenai peraturan perlunya mendapatkan permit untuk kempen seperti mengadakan ceramah dan lawatan dari rumah ke rumah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Tidak menghairankan jika Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dilaporkan terkejut dengan kecaman ahli politik veteran pembangkang kononnya peraturan baharu dikenakan supaya mereka kalah.

Sebenarnya bukan tiada peraturan tetapi biasalah jika perkara seperti itu sebelum ini ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa, perkara seperti ini ditutup sebelah mata.

Begitu juga dengan persoalan pemberian bantuan kerajaan yang berlaku bertahun-tahun lamanya kepada sekolah jenis kebangsaan sehingga akhirnya diheret ke mahkamah.
Seperti mana kata Azhar, peraturan yang dikuatkuasakan SPR itu sebenarnya berada di bawah bidang kuasa polis.

Jika ditelusuri sejarah Pilihanraya Umum (PRU) yang sudah memasuki edisi ke 14 dan berpuluh-puluh PRK sejak 64 tahun lalu iaitu sejak PRU pertama pada 27 Julai 1955 permit untuk kempen dan lain-lain sememangnya dalam kuasa polis.

Lantas, kenapa pula pemimpin Barisan Nasional (BN) seperti Ismail Sabri dan Datuk Seri Mahdzir Khalid boleh mengatakan peraturan yang dikuatkuasakan itu sebagai terlampau ketat dan tidak masuk akal.

Beliau menyifatkan peraturan tersebut menyusahkan pihak BN untuk berkempen.
Sesiapapun perlu mengikut peraturan yang ditetapkan, janganlah kita mempersoalkannya apabila ia tidak menyebelahi kita dan juga sebaliknya.

Sewajarnya semua pihak berlapang dada dengan kenyataan yang dibuat oleh SPR dan tidak bersangka buruk terhadap kenyataan tersebut.

Soal sama ada peraturan ketat tersebut merencatkan kempen BN tidak timbul jika rakyat mampu diyakinkan untuk memberikan sokongan yang diharapkan tidak kira siapa pun yang akan berkempen untuk mereka waima Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi pihak PH.
Tambahan pula, kehadiran orang ramai dalam sesuatu ceramah tidak semestinya mengambarkan sokongan sebenar rakyat.

Menjelang tiga hari lagi untuk membuang undi pada 16 November ini, semua pihak tidak perlulah melatah dan saling salah menyalah satu sama lain.

Jika SPR mengarahkan calon memohon permit, ikutkan sahaja nanti ada calon yang menghadapi masalah untuk bertanding.

Kepada parti politik yang inginkan kemenangan berkempenlah dengan bersih, menang atau kalah sememangnya adat pertandingan. Kalau tak pandai menari, jangan salahkan lantai jongkang-jongkit’.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here