FOTO atas: Creative Commons.

HANOI – Sejenis haiwan menyerupai kancil yang terkecil di dunia dan dikatakan sudah pupus, baru-baru ini dirakam di Vietnam buat pertama kali muncul semula dalam masa hampir 30 tahun.

Media antarabangsa melaporkan saintis kali terakhir temui haiwan tersebut, yang juga dikenali sebagai kancil Vietnam, pada tahun 1990 di bahagian tengah negara rantau Asia Tenggara itu.

Berita gembira itu disahkan melalui kenyataan badan hidupan liar antarabangsa, Global Wildlife Conservation dan merujuk nama rasmi spesies berkenaan sebagai ‘silver-backed chevrotain’.

Ia yang hanya bersaiz seumpama seekor arnab kecil itu pada kelazimannya banyak tinggal di kawasan hutan tropika Vietnam namun sering dijadikan sasaran pemburu haram tempatan.

Spesies unik ini merupakan mamalia pertama berjaya ditemui kembali dalam kalangan senarai 25 haiwan ‘hilang’ yang sangat dicari-cari saintis dan aktivis pencinta haiwan liar seluruh dunia.

Menurut laporan National Geographic, para penyelidik berharap penemuan tersebut akan bawa kepada perlindungan lebih menyeluruh bagi spesies itu yang diancam jerat pemburu.

Mereka menambah bahawa cara pencarian digunakan untuk menemui semula haiwan nadir tersebut diharapkan dapat bantu kesan banyak lagi spesies lain yang dianggap ‘hilang’.

Meskipun diberi gelaran sebagai ‘mouse-deer’ atau bermaksud kancil, ‘silver-backed chevrotain’ bukan sejenis pelanduk atau berasal dari keluarga tikus sebagai mana sangkaan banyak pihak.

Ia sebenarnya termasuk dalam kumpulan haiwan paling kecil dari kategori ungulat – iaitu mamalia ada telapuk atau tapak kaki keras seperti kuda, lembu, kambing, kerbau atau tenuk.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here