KAJANG – MMC Pembetungan Langat Sdn. Bhd akan menyerahkan loji berpusat Langat yang berjaya disiapkan dan mampu beroperasi sehingga lebih 30 tahun kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada Ogos, tahun depan.

Loji berpusat yang mengambil masa 59 bulan untuk dibina akan menggantikan loji-loji pembentungan kecil atau milik persendirian bagi premis tertentu di Hulu langat, Selangor, sekali gus menyelesaikan rungutan orang ramai mengenai bau busuk.

Setakat ini, terdapat loji-loji kecil bersendirian contohnya bagi sekolah, kem tentera, balai polis dan bangunan jabatan kerajaan.

“Loji-loji ini akan ditutup dan digantikan dengan loji rawatan kumbahan berpusat di Kampung Sungai Balak, Kajang, Selangor mulai Ogos tahun depan,” kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr. Xavier Jayakumar.

Xavier berkata demikian pada majlis menyampaikan barangan keperluan persekolahan kepada 440 pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun dari 22 buah sekolah terletak sepanjang jajaran projek loji berpusat itu.

XAVIER Jayakumar (tengah) berbual mesra dengan sebahagian pelajar dari 22 sekolah yang mendapat bantuan barangan persekolahan di Kampung Sungai Balak, Kajang, Selangor.

Loji berpusat meliputi kawasan tadahan seluas 77.6 kilometer persegi dari Batu 11 Cheras hingga Kajang yang direka bentuk untuk mencapai kualiti air Piawaian A Kategori 1 khususnya dalam penyingkiran ammonia.

Loji-loji kecil yang ditutup akan dibangunkan dengan inisiatif teknologi hijau dan kemudahan awam yang berinspirasi pengalaman dan kejayaan Perkhidmatan Pembetungan Metropolitan Jepun seperti dewan masyarakat, gelanggang sukan dan taman permainan kanak-kanak.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here