Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

TAK sangka ramai juga peminat setia artis dari Thailand di Malaysia. Buktinya sewaktu sembilan artis ternama negara itu hadir di IDEAL Convention Centre, Shah Alam bagi menjayakan Konsert dimsum Thai Pop 2019 di Malaysia pada 10 November lalu, kira-kira 2,000 penonton hadir.

Apabila pengacara Nadia Shahrul Annuar yang fasih bertutur bahasa Thai mengumumkan nama-nama artis berkenaan untuk tampil ke pentas, akan dengarlah jeritan daripada peminat.

Macam mana peminat Malaysia boleh mengenali artis dari negara luar lebih mendalam berbanding artis tempatan. Mudah saja, kalau hari-hari menghadap drama lakonan artis berkenaan sudah pasti apa saja perihal berkaitan artis tersebut akan diselongkar.
Mereka yang hadir menonton konsert pada malam itu rata-rata adalah  pelanggan setia dimsum iaitu perkhidmatan langganan video atas permintaan (VOD) Malaysia yang dikendalikan oleh SMG Entertainment Sdn. Bhd.

Sebut saja drama My Ambulance, Hormones: The Series, In Family We Trust dan Man of Vengeance 2019, semua telah ditonton oleh pelanggan dimsum dan sebab itulah mereka mengenali artis yang hadir menjayakan konsert berkenaan.

Kehadiran barisan pelakon berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan dimsum kepada orang ramai bagi membolehkan mereka menonton artis kesayangan secara langsung.
Selain itu, kehadiran Sunny Suwanmethanont, Tor Thanapob Leeratanakachorn bersama anggota kumpulan 9BY9 yang terdiri daripada  Jaylerr Kritssanapoom Pibulsonggram, Captain Chonlathorn Kongyingyong dan Ice Paris Intarakomalyasut adalah sempena sambutan ulang tahun ketiga perkhidmatan dimsum.

Persembahan yang bermula pada pukul 6 petang itu diserikan dengan dendangan oleh Tor, Jaylerr, Ice dan Captain menerusi lagu The Lucky One.

Menariknya setiap kali artis mendendangkan lagu, di kiri kanan pentas terdapat layar yang memaparkan lirik yang dipersembahkan. Sebanyak 12 buah lagu diperdengarkan oleh artis berkenaan secara bergilir-gilir dalam tempoh dua jam.

Malah Pearwah yang sebelum ini pernah membuat cover lagu Comel Pipi Merah dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mendendangkan lagu tersebut atas permintaan peminat.
Selain it, Pearwah turut berduet dengan Ice mendendangkan lagu tema untuk drama My Ambulance dan Lost Stars bersama Billkin.

Lain-lain lagu yang disampaikan pada malam itu adalah Hua Jai Kaung Tur (Tor), It’s O.K (Thanaerng), You Are My Everything (Billkin), Love Message (Sunny & Sky), Let It Be (Ice), Comethru (Captain), Humble (Jaylerr), Counting Star (Tor & Jaylerr) dan Uptown Funk yang didendangkan oleh semua artis.

Pada persembahan tersebut juga dijemput beberapa peminat bertuah untuk tampil di atas pentas sewaktu sesi bermesra dengan artis. Lima peminat tersebut berpeluang merakam foto dengan artis kesayangan mereka secara individu.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here