ABK berlewah yang tak perlu, abai Gol Terbaik

0
348
SYAFIQ Ahmad, penyerang JDT yang dijangka mengaut lebih satu kategori ABK 2019.

Oleh KAKI BANGKU

ANUGERAH Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memasuki edisi ke-14, malam esok sejak diperkenalkan pada 2006 di bawah tajaan jenama minuman ringan berkarbonat ternama.

Sebanyak 27 kategori dipertandingkan dalam majlisnya di Bangi, Selangor dengan tiga daripadanya kategori baru iaitu Anugerah Pengadil Berpotensi, Pemain dan Pasukan Terbaik Liga Bola Sepak Amatur (AFL) M3.

Kaki Bangku tengok ada beberapa kategori anugerahnya macam berlewah. Sudah terang lagi bersuluh.

Sudah ada Kasut Emas tetapi hendak dibuat juga kategori Penjaring Terbanyak Liga Super dan Liga Perdana.

Kasut Emas dikatakan untuk penjaring terbanyak dalam semua pertandingan kelolaan MFL, rakan kongsi penganjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sepatutnya hanya ada satu Kasut Emas yang mewakili penjaring terbanyak untuk saingan tertinggi dan terbaik iaitu Liga Super.

Tidak boleh digolongkan sekali kedua-dua liga itu untuk mencari siapa pemenang penjaring terbanyak. Sebabnya ialah masing-masing mempunyai kualiti dan suasana saingan yang berbeza.

Jika hendak jaga prestij, ABK wajar hanya mengiktiraf yang terbaik seperti mana konsep ‘The Best’ yang ditonjolkan dalam Anugerah Bola Sepak FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

Kemudian yang boleh diketepikan ialah Anugerah Pemain ASEAN Terbaik yang sepatutnya boleh digabungkan dengan Pemain Import Terbaik.

Adakah peruntukan kewangan yang disalurkan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk menyokong ABK mahupun penganjuran pertandingan Liga Malaysia?

MOHAMADOU Sumareh, (kanan) sayap Pahang yang tidak lagi layak dicalonkan bagi Pemain Import Terbaik ABK kerana status naturalisasinya.

Atau pernahkah dibuat soal selidik yang meluas mengenai siaran langsung perlawanan Liga M yang paling banyak mendapat rating penonton di mana-mana negara Asia Tenggara selain Malaysia.

Singapura misalnya?

Jurulatih warganya memimpin Kedah menjuarai Piala FA dan naib juara Piala Malaysia dan kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjulang trebel musim 2019 berasal dari seberang Tambak Johor.

Namun berapa keratkah warga republik itu yang mengikuti Liga M jika bukan pasukan atau kelab Liga S yang diundang beraksi.

Nama kategori anugerah yang tertinggi, Pemain Paling Bernilai (MVP) juga mengundang kesangsian. Sebenarnya nama yang tepat ialah Raja Bola bagi mengiktiraf pemain terbaik tanpa terlalu bertumpu kepada penjaring terbanyak atau di bahagian serangan.

MVP ini pada amalan biasanya cuma disampaikan selepas perlawanan akhir sesuatu pertandingan. Ada yang pernah menggunakan nama lain macam Pemain Terbaik atau Bintang Perlawanan (Man Of The Match).

Lagi satu KAKI BANGKU terkilan. Jaringan sentiasa menjadi elemen penting dalam bola sepak. Itulah ukuran kejayaan pasukan. Bagaimana pula pengiktirafan ABK bagi gol terbaik dalam Liga Super hingga Liga M3 (dulunya Liga FAM)?

Tiada Anugerah Gol Terbaik atau Gol Emas! Sedangkan kategori yang membazir dan ‘menghabiskan beras’ sibuk pula dijulang tinggi-tinggi. Yang betul-betul tentang sukan ini tiada pihak yang prihatin.

FIFA pun ada Anugerah Puskas yang pernah mengiktiraf gol sepakan bebas pemain Pulau Pinang, Faiz Subri yang ‘menentang hukum fizik’ ketika Liga Super 2016. AFF pun telah menyampaikan anugerah ala Puskas ini kepada bek kanan Selangor, Syahmi Safari, Sabtu lalu.

SENARAI KATEGORI ABK 2019
Pemain Paling Bernilai
Pemain Muda Harapan
Jurulatih Terbaik
Penyerang Terbaik
Pemain Tengah Terbaik
Pertahanan Terbaik
Penjaga Gol Terbaik
Pemain Import Terbaik
Pemain ASEAN Terbaik
Pemain Paling Popular
Fan XI
Pasukan Terbaik
Penyokong Terbaik
Anugerah Fair Play
Kasut Emas
Penjaring Terbanyak (Liga Super)
Penjaring Tempatan Terbanyak (Liga Super)
Penjaring Terbanyak (Liga Perdana)
Penjaring Tempatan Terbanyak (Liga Perdana)
Anugerah Mesra Media
Laman Web Terbaik
Media Sosial Terbaik
Anugerah Persahabatan
Anugerah Komuniti
Anugerah Pengadil Berpotensi
Pemain Terbaik AFL Liga M3
Pasukan Terbaik AFL Liga M3

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here