FOTO: NSTP/ROSELA ISMAIL

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin polis akan mematuhi nasihat Peguam Negara berhubung keperluan permit polis bagi tujuan kempen pilihan raya dari rumah ke rumah dan secara bergerak.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun menyifatkan ia adalah nasihat undang-undang yang amat baik daripada pihak Peguam Negara.

“Saya mengalu alukan nasihat itu. Sebagai penasihat undang-undang ulung kepada kerajaan, saya percaya polis tentunya akan mematuhi nasihat itu,” katanya kepada BH, hari ini.

Azhar Azizan turut menegaskan peruntukan dalam Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah dalam bidang kuasa polis, bukan SPR.

Beliau berkata, dakwaan pembangkang bahawa SPR sengaja membangkitkan keperluan mendapatkan permit polis untuk kempen dari rumah ke rumah adalah tidak benar.

“Peraturan itu ditetapkan oleh polis, saya takkan buat perkara di luar bidang kuasa SPR tetapi pembangkang mendakwa saya yang perkenalkan,” katanya.

Azhar Azizan diminta mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas supaya kontroversi berhubung permit polis bagi tujuan kempen dari rumah ke rumah dan secara bergerak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, diperjelaskan.

Ini kerana katanya, peruntukan mengenai keperluan permit itu yang dinyatakan mengikut Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya adalah tidak jelas.

“Dalam hal ini, peruntukan ini tidak secara jelas merujuk kepada kempen bergerak mahupun kempen dari pintu ke pintu.

“Hakikatnya sejarah membuktikan bahawa kaedah untuk meraih pengundi ini adalah paling popular digunakan calon daripada semua parti politik dan tanpa perlu untuk mendapatkan permit sedemikian, sejak 1955.

“Sebanyak 14 pilihan raya umum, selain ratusan PRK sudah diadakan bagi membolehkan pengundi memilih ahli parlimen dan wakil rakyat mereka,” katanya.

-BH
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here