FOTO: Creative Commons.

Oleh YUSOFF AHMAD SHARIFF

 

BELIAU pernah disanjung sebagai cahaya penyuluh kepada perjuangan hak asasi manusia, tetapi kini pendiriannya dipandang keji dan rasis terhadap rakyat sendiri.

Pada 1991, Aung San Suu Kyi dianugerahkan Hadiah Nobel untuk Keamanan dan pengerusi jawatankuasa Hadiah Nobel menggambarkan beliau sebagai contoh “perjuangan keadilan untuk yang tidak berkuasa.”

Bagaimana pun, sejak dipilih menjadi pemimpin Myanmar pada 2016 setelah negara tersebut membuka ruang untuk pemerintahan ‘demokrasi, Suu Kyi dikecam hebat oleh ramai pemimpin dunia dan aktivis yang pernah menyokongnya.

Pendirian mereka berubah setelah beliau dilihat bukan sahaja berdiam diri apabila masyarakat Muslim Rohingya dizalimi, malahan dibunuh dan terpaksa melarikan diri ke Bangladesh dan lain-lain negara berdekatan.

Dalam perkembangan terbaharu Suu Kyi dinamakan dalam tindakan saman yang difailkan di Argentina berhubung pelbagai jenayah terhadap kaum Muslim Rohingya.

Tindakan tersebut dikemukakan oleh beberapa kumpulan hak asasi manusia Latin Amerika dan Rohingya di bawah prinsip ‘jurisdiksi sejagat’ yang terdapat pada undang-undang kebanyakan negara di dunia.

Di bawah konsep jurisdiksi sejagat seseorang yang telah melakukan kezaliman terlampau secara terus atau menyokong kezaliman teramat ke atas mana-mana kumpulan manusia boleh berdepan dengan tindakan undang-undang di mana sahaja.

Selain Suu Kyi, turut dinamakan termasuk pemimpin Tentera Myanmar Min Aung Hlaing bersabit ancaman terhadap kaum minoriti Muslim Rohingya.

Kini Aung San Suu Kyi telah hilang pendirian moral dan begitu dibenci di serata dunia.

Pemimpin berusia 73 tahun itu diletakkan dalam tahanan rumah oleh junta Myanmar daripada 1989 hingga 2010 kerana berjuang mengembalikan demokrasi ke Myanmar yang dikuasai oleh tentera.

Pada 2015 parti pimpinannya, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) menang dalam pilihan raya umum bebas dan terbuka sejak 25 tahun negara tersebut merdeka.

Kemenangan tersebut dicapai hanya lima tahun selepas beliau dibebaskan daripada tahanan rumah.

Walaupun perlembagaan Myanmar melarang beliau menjadi presiden kerana mempunyai anak berkerakyatan asing, Suu Kyi dilihat sebagai pemimpin oleh dunia dan rakyat Myanmar.

Perjuangan Suu Kyi rata-rata kini dilihat oleh sebahagian besar dunia sebagai contoh pemimpin ‘musang berbulu ayam.’

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here