FOTO: NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

PONTIAN – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai memasuki pusingan akhir sebelum hari pengundian esok.

Hari ini semua calon dan penyokong parti-parti yang bertanding sudah bersedia dengan ‘peluru’ terakhir untuk menambat hati pengundi.

Malah, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).yang sengit bersaing mempunyai program dan kempen padat dari pagi hingga malam sebelum tempoh bertenang mulai tengah malam.

Saingan daripada parti Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas tidak banyak mempengaruhi dan dianggap sekadar ‘memeriahkan’ pertandingan enam penjuru sahaja.

Ramai pemerhati politik meramalkan calon BN, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng terus mendahului sokongan pengundi, namun ada juga yang berpendapat saingan masih terbuka dengan calon PH, Karmaine Sardini.

Walau bagaimanapun, penyokong kedua-dua parti mendakwa bahawa calon mereka mendahului lawan, mungkin sebagai tonik dan motivasi bagi jentera parti supaya terus gigih meraih sokongan.

Tinjauan BebasNews pula mendapati sokongan terhadap BN kini tetap.mengatasi PH.

Malah, ada seorang penganalisis politik meramalkan BN bakal memenangi PRK berkenaan dengan majoriti lebih 3,000 undi.

Namun, kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathiir Mohamad dua hari lalu berjaya ‘melonjakkan’ sokongan kepada PH dengan penerangan terhadap pelbagai isu, tetapi dilihat belum mampu mengatasi BN.

Nyata kehadiran ramai pengundi Cina pada ceramah yang dianjurkan di Kukup yang merupakan kira-kira 43 peratus daripada 53,000 pengundi Tanjung Piai memberi indikasi kaum berkenaan masih menyokong PH walaupun dillaporkan tidak sehebat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Walaupun pada mulanya kehadiran kira-kira 3,000 orang pada ceramah Perdana Menteri ‘menggentarkan’ BN, namun himpunan penyatuan ummah yang diadakan pada malam tadi dan dihadiri lebih 15,000 orang menjadi suntikan  semula semangat BN untuk merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Jika jumlah kehadiran dan sokongan itu diterjemahkan dalam bentuk undi, nyata PH bakal menerima kekalahan yang keempat berturut-turut dalam PRK selepas Cameron Highland, Semenyih dan Rantau.

Andai itu yang terjadi, kekalahan berkenaan boleh dianggap sebagai ‘loceng amaran’ kepada PH bahawa perjuangannya semakin ditolak oleh rakyat.

Mungkin ramai pemimpin PH tidak akan bersetuju dengan andaian itu, tetapi perkara tersebut tidak harus dikesampingkan jika ingin terus memenangi hati rakyat untuk mendepani PRU15.

BN pula sudah pastinya semakin berkobar-kobar untuk menumbangkan semula kerajaan PH dengan menanamkan laungan ‘Pakatan Hancing’ dan ‘Kerajaan Penipu’ dalam minda rakyat apabila mendakwa banyak janji dalam manifesto PRU14 gagal dilaksanakan hingga kini.

Keadan ekonomi negara yang kian menekan dan kejatuhan harga komoditi seperti kelapa sawit dan getah serta Ringgit memberi kesan secara langsung terhadap kehidupan rakyat, sekali gus kian menggugat sokongan kepada kerajaan PH.

Walaupun berkali-kali para pemimpin PH mengulangi gesaan dan kenyataan bahawa keputusan PRK Tanjung Piai tidak akan mengubah apa-apa, khususnya kedudukan kerajaan dan hanya calon PH yang mampu membawa pembangunan, namun ‘hati dan sokongan’ pengundi Tanjung Piai mungkin diberikan kepada BN pada PRK kali ini.

Mereka ingin menyampaikan undi dalam PRK kali ini sebagai referendum serta suara hati rakyat kepada kerajaan PH supaya mentadbir dan menguruskan negara dengan lebih baik.

Apa pun, esok adalah hari penentuannya, apakah PH berjaya mengekal kerusi Parlimen Tanjung Piai atau terpaksa menyerahkan semula ke tangan BN.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here