Lakonan Ernie Zakri dapat pujian

0
317
DRAMA Suri Katriana menjadi ikutan ramai.
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

MACAM tak percayakan bila tengok Ernie Zakri berlakon drama bersiri Suri Katriana yang sedang disiarkan di saluran Astro Prima menerusi slot Tiara dan Astro Prima HD, pada pukul 6 petang, setiap Isnin hingga Jumaat.
Drama 49 episod, arahan Mohd. Faizal Yahya atau Pali Yahya itu merupakan drama pertama lakonan penyanyi yang popular dengan lagu Ku Bersuara itu.
Sebagai orang baharu dalam bidang lakonan, penonton yang mengikut drama ini mengakui yang Ernie, 27, berjaya membawa watak Suri dengan begitu baik sekali.
“Masa mula-mula berlakon saya rasa takut sebab ini drama pertama. Lepas tu orang sekeliling saya di set adalah pelakon-pelakon yang hebat. Saya bertuah dapat berlakon di samping Ummi Nazeera, Nadiya Nissa dan pelakon lain dalam drama ini.
“Mereka memahami keadaan saya dan saya selalu cakap dengan mereka, ini drama pertama saya dan sesungguhnya saya takut, tolong bantu dan alhamdulillah mereka membantu saya dengan ikhlas. Disebabkan sokongan mereka saya dapat memberikan yang terbaik.
ERNIE Zakri berjaya menjiwai watak Suri dengan baik.
“Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya terima tawaran ini kalau tahu diri bukan pelakon. Saya terima tawaran berlakon Suri Katriana kerana mahu mencabar diri dan mungkin ini rezeki saya untuk tahun ini,” katanya.
Mencerita lebih lanjut pengalamannya di set Suri Katriana, kata Ernie, beliau beruntung kerana kru produksi sangat bertimbang rasa terutamanya, pengarah.
Jelasnya, Pali adalah seorang pengarah yang tak tegas kerana sentiasa memberi ruang dan masa untuk beliau menjiwai watak terutamanya bila melibatkan adegan emosi.
“Abang Pali tak pernah paksa saya. Bila ada adegan menangis, dia akan bagi saya masa untuk menjiwai dan kemudian baru mula penggambaran. Bila dapat pengarah yang best untuk saya yang pertama kali berlakon, tentulah rasa bertuah.
“Untuk melakonkan adegan menangis, pada awalnya saya ingatkan kisa-kisah sedih apa yang pernah berlaku dalam kehidupan, lama kelamaan perasaan itu tak mendatang. Saya kerap bertanya kepada Aishah Azman dan dia bagi tahu saya macam mana nak menangis. Dia kata letakkan diri kita dalam situasi itu.
“Begitu juga apabila adegan menampar abang Zul Huzaimy, dia yang ajar saya teknik menampar tanpa kena wajahnya. Abang Zul Huzaimy adalah cikgu lakonan, jadi saya banyak bertanya dengan dia,” kongsi Ernie tentang hubungan baiknya dengan pelakon Suri Katriana.
ERNIE Zakri dan Ummi Nazeera pelakon utama Suri Katriana.
Ernie yang banyak adegan di samping Hasnul Rahmat yang merupakan suaminya dalam drama tersebut berkata, sebaik selesai penggambaran yang turut diadakan di Phuket, Thailand itu, beliau merasa lega.
Pada waktu yang sama Ernie berdebar menunggu maklum balas daripada penonton. Sebenarnya rata-rata pelakon yang terlibat dalam drama ini kagum dengan bakat lakonan Ernie.
“Saya telah buat yang terbaik dan kalau penonton kata okey, alhamdulillah. Lepas berlakon saya banyak berborak dengan mak long (Ziana Zain) dan dia banyak memberi kata-kata semangat. Katanya, apa saja rezeki mendatang, lakonan atau nyanyian, ambil saja asalkan baik untuk kerjaya.
“Nanti kalau ada tawaran berlakon lagi, bolehlah saya fikirkan. Manalah tahu watak itu sangat sesuai untuk saya. Sebenarnya waktu penggambaran Suri Katriana, ada juga beberapa tawaran berlakon lain yang saya terima,” kata Ernie yang turut diberi peluang menyanyikan lagu runut bunyi drama tersebut, Sinar Mata Hati.
–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here