Rezeki anak sulung julang Brendan

0
278
BRENDAN Gan (kiri) meraikan gol sulung dengan mengajuk gaya bayi./Foto: FAM

Oleh KAKI BANGKU

BENARLAH ungkapan popular sekarang, “rezeki tidak salah alamat!”
Apatah lagi kalau rezeki kelahiran cahaya mata sulung Brendan Gan yang layak dinobat ‘Pemain Terbaik’ perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Tidak sia-sia pengorbanannya menyahut panggilan negara sambil meninggalkan Koa Brooklyn Gan yang baru berusia sembilan hari sejak dilahirkan di Australia tanggal 5 November lalu.

Perantara Perak kelahiran Australia itu menyamakan kedudukan 1-1 dengan tolakan kaki kiri hasil umpanan Syamer Kutty Abba dan sungkitan bijaknya mendorong jaringan kemenangan menerusi rembatan awangan Mohamadou Sumareh.

Dua jasa besarnya pada minit ke-26 dan 56 itu memastikan tiga mata Harimau Malaya daripada pertembungan dengan Thailand dalam Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Brendan, 31, kini mengekori sayap kanan, Sumareh yang mengumpul tiga gol dan penyerang, Syafiq Ahmad, dua gol dalam senarai penjaring negara selepas empat perlawanan.

Inilah jaringan ketujuh Sumareh, pemain naturalisasi Gambia, semalam dalam penampilan ke-18 bersama Harimau Malaya sejak menewaskan Sri Lanka 4-1 di Colombo pada 12 Oktober 2018.

BRENDAN Gan dianugerahkan Pemain Terbaik perlawanan Malaysia-Thailand dalam Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023./Foto FAM

“Tiada kata yang boleh diungkapkan dengan kejayaan ini,” ulas ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe dengan kemenangan kedua pasukannya ini selepas empat perlawanan sejak 5 September lalu.

Sekalipun dikejutkan gol seawal minit ketujuh oleh Chanathip Songkrasin namun semangat kebangkitan Harimau Malaya tidak pernah pudar untuk membalas sokongan padu ribuan Ultras Malaya sehingga meleburkan rekod tanpa kalah Gajah Perang.

Malah Harimau Malaya mampu menang lebih besar sekiranya gerakan-gerakan yang bertali arus antaranya oleh Brendan, Safawi Rasid dan La’Vere Corbin-Ong lebih tajam dalam menguji penjaga gol pelawat, Siwarak Tedsungnoen.

“Kita menang tetapi saya akui ada harga yang mahal perlu dibayar,” katanya.
Cheng Hoe merujuk kepada kecederaan bek kanan, Syahmi Safari yang terpaksa digantikan oleh pendukung asal posisi itu, Matthew Davies pada minit ke-81.

Dia turut terpaksa menukar perantara, Nor Azam Abdul Azih dan Sumareh dengan Afiq Fazail dan Akhyar Rashid dalam memastikan pasukan tidak ‘kehabisan minyak’ dalam 10 minit terakhir yang genting untuk menangani asakan balas skuad Akira Nishino.

“Misi kita seterusnya ialah menentang Indonesia (Selasa ini di Bukit Jalil). Inilah perlawanan terakhir kelayakan bagi tahun ini dan lawan pasti datang dengan persiapan dan saya tidak pandang rendah kemampuan mereka,” tegas Cheng Hoe.

Harimau Malaya juga bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk menumbangkan Sang Garuda 3-2 ketika membuka aksi kumpulan ini di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September lalu hasil dua gol Sumareh dan Syafiq.

Namun aksi selebihnya menyaksikan kita dihukum dengan dua kekalahan, 2-1 kepada Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Bukit Jalil dan Vietnam 1-0 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi masing-masing pada 10 September dan 10 Oktober lalu.

Harimau Malaya masih menghuni tempat keempat kumpulan manakala ‘Naga Emas’ Vietnam yang mengejutkan pilihan utama, UAE atau Al Abyad (Si Putih) 1-0 di Hanoi, semalam menerajui dengan sembilan mata dan diekori Thailand, tujuh mata.

JADUAL PERLAWANAN SELASA, 19 NOVEMBER
MALAYSIA lawan Indonesia (8.45 malam, Stadium Nasional, Bukit Jalil)

KEDUDUKAN MATA KUMPULAN G
P M S K J B MT
Vietnam 4 3 1 0 5 1 10
Thailand 4 2 1 1 6 3 7
UAE 4 2 0 2 8 4 6
MALAYSIA 4 2 0 2 6 6 6
Indonesia 4 0 0 4 3 14 0

-Bebasnews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here