Oleh HASSAN MOHD NOOR

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai akan mengambil tempat esok. Pengundi bakal menentukan sama ada mereka mahu mengekalkan Pakatan Harapan (PH) atau mengembalikannya kepada Barisan Nasional (BN). Itu sahaja pilihan yang ada, PH atau BN walaupun ada calon Gerakan, Berjasa dan Bebas. Di atas kertas jika diambil keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu, jumlah undi calon BN yang tewas hanya kurang lebih 500 undi sahaja. Dan berikutan muafakat nasional UMNO-Pas, peluang untuk calon BN yang sama sebelum ini masih ada jika pengundi atau penyokong Pas memilih BN. Begitu juga jika mereka yang mengundi BN sebelum ini tidak berpecah kepada PH, Gerakan atau calon lain.

Untuk rekod, ini adalah PRK yang kesembilan selepas PRU lalu. Bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor iaitu Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia diikuti Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan dan Cameron Highlands, Pahang. PRK seterusnya di DUN Semenyih, Selangor, DUN Rantau, Negeri Sembilan dan Parlimen Sandakan di Sabah. Keputusannya, tujuh parti yang menyandang kerusi itu semasa PRU lalu kekal manakala satu kawasan iaitu DUN Semenyih berlaku peralihan iaitu PH kepada BN. Adakah Tanjung Piai akan kekal milik PH atau kecundang seperti di Semenyih? Orang politik dan pengundi lebih arif.

Kebetulan pula calon yang akan mempertahankan kerusi Tanjung Piai mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau dikenali parti bunga. Di Semenyih, Bersatu tewas kepada UMNO. Justeru Bersatu perlu menebus kekecewaan itu dan amat mengharapkan kemenangan supaya tidak dimalukan untuk kali kedua. Bagi mengejar cita-cita itu, orang kuat parti itu perlu turun padang termasuk Dr. Mahathir Mohamad. Dulu semasa era BN, presiden parti jarang turun berkempen ketika PRK kecuali di satu dua kawasan tertentu. Semuanya diserah kepada orang No. 2 parti. Sama seperti Semenyih, Dr. Mahathir juga turun di Tanjung Piai bagi memberi amanat akhir. Harapan Harapan mengelakkan berlakunya Semenyih II.

Banyak sebab Bersatu amat mengharapkan kemenangan. Orang politik tahu sebab-sebabnya. Tidak perlu diceritakan lagi. Pada masa yang sama musuh Bersatu sama ada di pihak pembangkang atau dalam kalangan mereka yang bersifat gunting dalam lipatan atau musang berbulu ayam mahu melihat kejatuhan Bersatu. Hal ini pun dalam bacaan orang politik. Istilah cakap lain, buat lain juga mungkin berlaku. Semua ini percaturan politik. Jawapan kepada persoalan ini mungkin dapat dilihat selepas keputusan PRK itu nanti. Segala persoalan akan terjawab sendiri.

BN pula mengharapkan kemenangan kedua selepas Semenyih. Amat penting bagi membuktikan muafakat nasional diterima oleh masyarakat. Namun BN turun ke gelanggang pada kali ini tanpa ‘sokongan’ media khususnya media cetak. Media elektronik usah diharap. Laporan terhadap BN kebanyakannya negatif. Mungkin The Star milik MCA memberi sedikit harapan. Saya tidak pasti laporan akhbar Cina. Namun merujuk akhbar utama lain, BN kehilangan sokongan media apabila Utusan Malaysia tidak sempat turun ke medan pertarungan selepas ‘tewas’ di gelanggang sendiri pada 9 Oktober lalu.

Ini juga satu ujian besar kepada BN kerana tidak ada media yang memberi sokongan padu sama seperti masih berkuasa. Kebanyakan akhbar memihak kepada calon kerajaan. Ini bukan sesuatu yang luar biasa, sama seperti ketika BN memerintah. Corak pemberitaan semakin beralih kepada situasi semasa. Kata orang di mana ada gula di situ ada semut atau di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Nasib BN pula umpama habis madu sepah dibuang. Tidak pasti sama ada laporan PRK hari ini berasaskan kebebasan media atau tanpa dipaksa terdorong mengikut arus iaitu menyokong pihak kerajaan.

Mungkin untuk ‘hidup’ trend menyokong pemerintah yang ada menjadi amalan akhbar. Utusan Malaysia sudah ada pengalaman itu. Maka tidak bijak jika media yang ada cuba menongkah arus. Ikut sahaja. Masyarakat mungkin boleh menilai sendiri corak laporan media berkenaan. Penyampaiannya berubah nada dan fokus mengikut rentak siapa yang memerintah. Sesuatu yang baik yang dilakukan oleh pembangkang sudah tentu akan digambarkan tidak baik. Contohnya andai muafakat nasional itu berlaku semasa BN berkuasa sudah tentu media akan mengatakannya baik tetapi apabila BN hilang kuasa maka kebaikan itu bertukar menjadi serba tak kena. Diungkit kembali percanggahan pendirian kedua-dua parti dalam isu tertentu sebelum ini.

Laporan mungkin berubah jika Utusan Malaysia yang menjadi milik UMNO masih wujud. Jika tidak 100 peratus memihak kepada UMNO, mungkin lebih seimbang laporannya atas faktor ‘untuk kelangsungan hidup’. Belajar daripada pengalaman lalu, jika terlalu ‘keras’ kerajaan akan ‘menghukumnya’.

Tanpa media cetak dan elektronik sebaliknya melalui media sosial, sejauh mana kempen BN yang berlangsung mempengaruhi pengundi? Adakah media masih memainkan peranan penting? Tidak dinafikan hari ini, sebagai hari terakhir, laporan media berpihak kepada kerajaan. Tidak pasti andainya Utusan Malaysia masih ada, apa pula corak laporannya pada hari ini. Adakah berat sebelah, seimbang atau memilih jalan selamat supaya ‘tidak dihukum’ oleh parti yang menguasai kerajaan?

Merujuk laporan atau berita hari ini, BN sudah tentu tewas di luar gelanggang. Hari ini tidak mungkin BN ‘mampu’ membeli iklan atau ‘meminta sokongan’ pengundi di muka hadapan akhbar. Jika ada wang sekali pun, belum pasti sama ada media cetak berani menerima iklan yang berbunyi undilah calon BN atau yang sewaktu dengannya. Tidak pasti sejauh mana kebebasan media di negara ini. Tidak akan berubah atau tidak mampu berubah walaupun kebebasan media itu dilaungkan.

Apa pun kita lihat kesudahan PRK ini. Dan BN pula sekali lagi harus ingat bahawa di belakang mereka tidak ada lagi media cetak bukan sekadar PRK ini malahan pada PRU akan datang. Jadikan PRK ini untuk melihat sejauh mana keperluan terhadap media. Ingat kenyataan menteri yang mewakili Bersatu berhubung akhbar Utusan Malaysia. Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md. Yusof, Utusan Malaysia akan membuat kemunculan semula tahun depan. Akhbar itu akan membantu menyalurkan maklumat berhubung pelaksanaan dasar kerajaan.

Redzuan juga adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. Sudah tentu, Utusan Malaysia akan turut menjadi ‘lidah’ parti itu. Atau macam mana? Tunggu.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here