BN rampas Tg Piai dengan majoriti besar

    0
    1007

    PONTIAN — Barisan Nasional berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada Pakatan Harapan dengan majoriti besar lebih 14,000 undi.

    Keputusan tidak rasmi menunjukkan Wee Jeck Seng mendapat 23,621 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 9,498 undi.

    Calon Gerakan, Wendy Subramaniam sekadar meraih 1,586 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz yang mewakili Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) mendapat 790 undi dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 350 undi dan 30 undi.

    Wee pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai dari 2008 hingga 2018, sebelum tewas kepada Md Farid Md Rafik daripada PPBM dengan majoriti 524 undi.

    Ini adalah kemenangan keempat BN daripada sembilan PRK yang diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

    BN sebelum ini menang di PRK Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri Semenyih dan Rantau.

    Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, peratusan keluar mengundi selepas semua 27 pusat mengundi bagi PRK Tanjung Piai ditutup 5.30 petang tadi ialah 74.5%.

    PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Farid pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

    Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 57% pengundi Melayu, Cina 42% dan India 1%.

    https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/11/16/bn-menang-besar-mca-kembali-ke-tg-piai/
    Please follow and like us:
    error

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here