FOTO: NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng hari ini memberi isyarat akan meletakkan jawatan sekiranya RM30 juta yang dijanjikan untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) tidak diberi apabila MCA melepaskan kawalan ke atas institusi itu.

Lim dan MCA bertelagah mengenai peruntukan itu, dan Lim beberapa hari lalu menegaskan dana awam tidak boleh diberikan kepada institusi yang dikawal parti politik.

Presiden MCA, Wee Ka Siong bulan lalu mengkritik Lim kerana tidak bersimpati terhadap komuniti Cina dengan memotong geran kerajaan kepada TAR UC.

Isu itu dibangkitkan Barisan Nasional (BN) ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecik (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

“Bagi mengelakkan polemik politik berpanjangan mengenai sama ada janji peruntukan minimum RM30 juta setahun kepada TAR UC ini tulen atau tidak, biarlah saya nyatakan dengan jelas dan tegas.

“Saya sanggup membayar harga politik tertinggi sebagai menteri kewangan sekiranya janji peruntukan minimum sebanyak RM30 juta kepada TAR UC, bermula 2019, yang dibuat atas kapasiti saya sebagai menteri kewangan, tidak ditunaikan sesudah MCA melepaskan pegangan politiknya ke atas TAR UC,” katanya dalam kenyataan.

Oleh yang demikian, kata setiausaha agung DAP itu, “tiada lagi alasan atau sebab” untuk MCA tidak melepaskan kawalan politik ke atas institusi tersebut.

Lim memberitahu beliau sebelum ini berulang kali menyatakan pentadbiran Pakatan Harapan sanggup memberikan TAR UC sekurang-kurangnya RM30 juta setahun bermula 2019.

Beliau juga berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah mengesahkan perkara tersebut.

Lim membidas Wee, menuduhnya cuba mengalihkan perhatian dengan menyatakan janji dana sekurang-kurangnya RM30 juta yang hendak diberikan kepada TAR UC sebagai “sandiwara” kerana ia tiada dalam Belanjawan 2019 atau 2020.

Beliau berkata, Wee memetik peruntukan RM5.5 juta dalam Belanjawan 2019 dan RM1 juta dalam Belanjawan 2020 untuk TAR UC bagi menyokong dakwaan itu.

“Adakah Wee sebagai bekas menteri Kabinet begitu jahil kerana tidak tahu bagaimana Belanjawan kerajaan berfungsi?

“Kalau begitu kenapa ada perbelanjaan pembangunan utama dalam Belanjawan dengan peruntukan hanya RM10? Saya tidak perlu menerangkan lagi agar dia tidak berasa malu atas ketidakcekapannya,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/11/15/guan-eng-beri-isyarat-letak-jawatan-jika-dana-tak-diberi-pada-tar-uc/
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here