Siapa kata Khai Bahar tak boleh berlakon?

0
705
BERSAMA Siti Nordiana mendendangkan lagu Satukan Rasa waktu semifinal Muzik Muzik 34 baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

ADA juga penonton yang tak puas hati dengan lakonan penyanyi Khai Bahar dalam drama Satukan Rasa yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Drama 20 episod, arahan Hadith Omar yang masih meneruskan penggambaran itu menampilkan Khai sebagai Jai Bakri yang jatuh hati pada pembantu peribadinya, Indah Suhaila, lakonan Siti Nordiana.

Sebagai orang baharu dalam bidang lakonan, Khai atau nama sebenarnya Muhamad Khairul Baharuddin, 25, bersyukur kerana sejak ditayangkan, beliau mendapat maklum balas yang positif daripada peminatnya.

“Alhamdulillah okey. Peminat tak kutuk sebab mereka suka dan tak kurang juga yang kritik. Bagi saya kritikan itu perkara biasa dan saya terima dengan hati terbuka kerana ini adalah drama pertama lakonan saya.

“Sebenarnya sebelum drama ditayangkan, saya sudah bersedia menerima apa saja maklum balas daripada penonton. Saya terima komen penonton dengan hati terbuka, kalau mereka tak komen begitu saya pun tak tahu salah dan silap lakonan saya,” katanya dengan ikhlas.

Katanya, selepas membaca maklum balas daripada orang ramai, beliau sentiasa cuba memperbaiki lakonannya setiap hari di set penggambaran.

Bila ditanya, adakah beliau akan menerima tawaran berlakon lagi selepas menonjolkan bakat menerusi drama Satukan Rasa, terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., itu.

“Kalau ada tawaran selepas ini, apa salahnya. Selepas cuba berlakon Satukan Rasa, terasa seronok pula berlakon. Kalau boleh saya mahukan watak yang berbeza daripada drama pertama.

“Sebenarnya watak Jai Bakri yang agak manja-manja tu tak lari daripada karakter saya sendiri. Benda itu macam terbiasa bagi diri saya sebab saya dulu macam manja-manja sikit. Kalau boleh saya nak watak yang bukan diri saya,” jelasnya yang sudah jatuh cinta dengan bidang lakonan.

Sementara itu, dua lagu dendangan Khai iaitu 123 dan Satukan Rasa, duet bersama Siti Nordiana, adalah antara 30 lagu yang terpilih ke peringkat semifinal Muzik-Muzik 34.
Hanya 12 buah lagu sahaja yang bakal dipilih oleh juri profesional untuk bertanding pada Anugerah Juara Lagu tak lama lagi.

“Saya telah berikan persembahan yang terbaik untuk kedua-dua lagu. Kalau ada rezeki adalah. Ini adalah kali ketiga saya terpilih untuk semifinal dan dua lagu saya sebelum ini berjaya masuk Anugerah Juara Lagu, tapi tak ada rezeki.

“Dah tentu saya harapkan yang terbaik untuk kedua-dua lagu sebab 123 adalah ciptaan saya dan Satukan Rasa pula ciptaan bersama dengan Nana. Doakan yang terbaik untuk lagu dendangan kami,” katanya.

Bukan sekadar cipta lagu untuk diri sendiri, Khai juga berkesempatan mencipta lagu untuk pendatang baharu, Iza’an, peserta yang menyertai program I Can See Your Voice.

Muzik video lirik Merindu, dendangan Iza’an baru saja dimuat naik dalam saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada 13 November lalu dan mendapat lebih 7,000 tontonan.

“Saya ambil Iza’an untuk menyanyikan lagu ciptaan saya sebab dia ada aura dan suaranya kena dengan lagu tersebut. Iza’an adalah orang pertama yang nyanyikan lagu ciptaan saya.

“Sebenarnya, saya yang hubungi dia dan beritahu nak buat lagu untuk dia. Dia terima niat baik saya dan teruja untuk buat rakaman. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya ambil masa dua bulan untuk cipta dan tulis lirik lagu yang memang dicipta khas untuk Iza’an,” ceritanya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here