Bekas pemain liga Jepun curah ilmu besbol di UPM

0
371
KOSUKE Naruse (lima dari kiri) bergambar dengan peserta klinik besbol dan para pegawai Jepun di UPM, Serdang.

Oleh KAKI BANGKU

SUKAN besbol yang sudah bertapak di negara ini sejak dua dekad lalu, menerima anjakan baharu dengan kehadiran seorang bekas pemain profesional Yomiuri Giants, sebuah kelab ternama Jepun mulai semalam hingga Rabu ini.

Kosuke Naruse, 27, hadir atas undangan Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) untuk mengendalikan klinik besbol terutama daripada segi teknik dan kemahirannya.

“Saya datang sini untuk menyebarluaskan besbol sebagai sejenis sukan yang seronok untuk dimainkan.

“Kepada mereka yang belum serasi dengan besbol, inilah detik terbaik untuk menceburinya. Saya cuba tengok apa yang boleh saya sumbangkan di negara yang berbeza,” katanya.

NARUSE (kanan) menunjukkan teknik memukul yang betul kepada peserta klinik besbol kendaliannya di UPM.

Naruse bermain selama lapan tahun dengan kelab Yomiuri Giants dalam liga divisyen dua dan pernah memenangi beberapa kejuaraan kebangsaan.

“Saya mula bermain besbol sejak berusia tiga tahun lagi. Saya teruskan karier sukan ini ke sekolah tinggi dan menceburinya secara profesional sebelum terpaksa bersara awal kerana telah menjalani tiga pembedahan,” katanya.

Antara peserta klinik besbol Naruse ialah pasukan lelaki dan wanita kebangsaan Malaysia, kelab Snitchers UPM, mahasiswa-mahasiswa kolej UPM dan para pelajar sekolah menengah dan rendah Seri Serdang, Cheras Jaya dan Seri Indah.

Kata Naruse, sukan ‘pukul dan lari’ ini menduduki antara tiga sukan paling popular di Jepun di belakang bola sepak dan ragbi.

Jepun mempunyai hubungan dan kerjasama besbol yang erat dengan BFM sejak beberapa bulan lalu.

Antaranya melibatkan kehadiran jurulatih pemenang pingat perak Sukan SEA 2011 dengan Indonesia, mendiang Katsumi Harada bersama skuad negara dalam Kejohanan Jemputan Antarabangsa di UPM, Julai lalu.

NARUSE, bekas pemain Yomiuri Giants terpaksa bersara daripada karier profesional besbol lebih awal kerana kecederaan bahu.

UPM turut pernah menghantar 10 pemain lelakinya ke Sekolah Tinggi Okayama Sanyo selama dua minggu bagi menggilap dan meningkatkan tahap dan teknik permainan mereka.

Usaha pembangunan besbol Malaysia juga berjaya meyakinkan sebuah kelab Jepun, Seibu Lions untuk menyumbangkan peralatan sukan ini yang terpakai mulai tahun ini.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here