JAKARTA – Dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pramuka di utara Jakarta, Swietena Puspa Lestari, 24, amat mesra dengan laut.
Bagi Pengarah Eksekutif pertubuhan ‘Divers Clean Action’ (DCA) yang berpangkalan di Jakarta ini menyelam dan berenang bersama ikan di laut adalah sesuatu yang tidak asing.
Bagaimana pun, pada usia yang begitu muda, Swietenia semakin menyedari dan menyuarakan kebimbangan apabila dari sehari ke sehari dia melihat betapa keadaan laut semakin tercemar.
Kemuncak kebimbangan ini berlaku pada 2007 apabila sektor pelancongan Indonesia mengalami pertumbuhan sebanyak 300 peratus.
Swietenia memberitahu portal CNA bagaimana sewaktu kecil dia melihat keadaan laut begitu indah dengan pelbagai jenis ikan, tetapi selepas 2007 segala-galanya telah bertukar kerana apabila dia menyelam dia tidak lagi melihat dasar laut dengan jelas disebabkan sampah sarap.
Krisis alam sekitar sebegini memerlukan tindakan dan kesedaran itu telah mendorongnya untuk melanjutkan pelajaran dalam lapangan kejuruteraan alam sekitar di Institut Teknologi Bandung.
Menjelang tahun ketiga pengajiannya pada 2015, Swietenia mula mencari mana-mana badan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu-isu berkaitan maritim di gugusan Kepulauan Seribu, di mana tempat kelahirannya, Pulau Pramuka terletak.
Kegagalan mendapatkan entiti sebegitu, Swietenia dan kawannya, Nesha Ichida dan Adi Seption telah menubuhkan sebuah komuniti yang mengumpulkan seramai 100 penyelam untuk membersihkan laut daripada sampah sarap.
DCA komited membersihkan dasar laut daripada sampah sarap dan di kawasan pesisiran pantai./ Foto: DCA
Setelah lulus pengajiannya pada 2017, komuniti tersebut berkembang dan seterusnya menjadi sebuah yayasan yang kini dinamakan sebagai DCA.
Hari ini DCA mempunyai seramai 1,500 sukarelawan berdaftar di seluruh Indonesia, selain beberapa ratus lagi di serata pelosok Asia Tenggara yang fokus kepada usaha membanteras sampah laut dan menanam kesedaran tentang isu berkenaan dalam kalangan komuniti-pantai.
Dengan data yang diperoleh, DCA mengemukakan cadangan kepada pihak kerajaan Indonesia dan seterusnya melancarkan beberapa siri kempen bagi mendidik orang ramai tentang pentingnya pengurusan sisa buangan.
Segala usaha Swietenia membuahkan hasil apabila BBC menamakannya di antara 100 wanita berpengaruh dan berinspirasi 2019 searus dengan gadis remaja Sweden sensasi dunia, Greta Thurnberg yang memperjuang isu perubahan cuaca.
PERTUBUHAN Divers Clean Action asalanya merupakan sebuah komuniti dianggotai seramai 100 penyelam pada 2015./ Foto: DCA.