Fauziah Latiff jadi Siti Hasmah

0
311
FAUZIAH Latiff bersama Azhar Amir.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEWAKTU majlis pelancaran filem Mahathir the Journey baru-baru ini, Fauziah Latiff atau Jee tampil dengan imej yang berbeza iaitu rambut pendek berketak sambil membawa beg tangan yang jelas bukan kebiasaannya.

Malah tak kurang juga yang membuat andaian penyanyi itu memakai rambut palsu untuk menampakkan persamaan dirinya dengan watak yang bakal dilakonkan iaitu sebagai Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Kata Jee, itu memang rambutnya yang sebenar (pendek) dan hanya diketakkan sedikit untuk menampakkan persamaan dengan imej isteri kepada Perdana Menteri Malaysia itu.
Jee yang mendapat pujian ramai kerana lakonannya dalam drama Gelora Di Hati Sara pada awal pembabitan sebagai pelakon berkata, beliau setuju berlakon filem terbitan Reliance Media Group Sdn. Bhd., kerana mahu mencabar diri.

“Saya terima sebab nak mencabar diri sendiri dan selain itu dapat menimba pengetahuan kerana bagi saya banyak perkara yang boleh dipelajari jika berlakon dalam filem ini.

FAUZIAH Latiff akan cuba lakonkan karakter Siti Hasmah sebaik mungkin.

“Ini merupakan satu naskhah yang sangat berharga untuk diri saya, masa depan generasi muda dan negara. Saya bangga sebagai anak Malaysia yang mempunyai Tun M dan Siti Hasmah, seorang ibu dan isteri serta nenek yang sentiasa bersama suami tak kira apa saja situasi. Peranannya itu memberi inspirasi kepada saya,” jelas Jee.

Tambah Jee, berlakon dalam filem arahan Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan dan Chan Wai Cheong itu merupakan satu pengalaman baharu dan berat untuknya.

Jee yang pernah berlakon teater Tun Rahah di Istana Budaya sebelum ini berkata, filem yang bakal memulakan penggambaran pada 15 Disember ini akan dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya lebih kepada menjiwai watak kerana untuk menjadi seperti Siti Hasmah sukar rasanya. Apa yang boleh saya buat adalah memahami dan menyelami perasaan beliau. Bagi saya beliau adalah seorang wanita yang perlu menjadi kuat untuk suami dan negara.

“Untuk menjiwai perasaannya, saya banyak membuat rujukan menerusi YouTube dan membaca tentang biografi beliau untuk memahami karakternya. Saya tak boleh nak buat 100 peratus seperti beliau tapi dari segi watak mungkin boleh sikit. Tapi yang penting dari segi penceritaan bagaimana dia melalui semua situasi itu,” jelas Jee tentang watak yang bakal dilakonnya itu.

Dalam filem yang bakal ditayangkan pada Julai 2020 sempena sambutan hari lahir Tun Mahathir, Jee digandingkan dengan Azhar Amir. Sebelum ini, telah ada filem berkaitan Perdana Menteri iaitu M For Mahathir.

Kata Jee, beliau tidak takut kalau ada yang membuat perbandingan terhadap pemegang watak Tun Siti Hasmah, antaranya dengan pelakon lain yang muncul dalam karya berbeza.

“Tak kisah kalau ada filem tentang Siti Hasmah sekalipun kerana kedua-duanya rujukan yang berbeza. Filem ini lebih kepada Mahathir dan siapa di belakangnya. Biarlah kalau ada orang nak buat bandingan.

“Apa yang penting kedua-duanya adalah aset negara untuk dibawa ke mata dunia. Kedua-dua adalah satu legasi yang sangat baik dan harus ada agar generasi muda dapat melihat. Paling penting adalah penceritaan dalam karya,” katanya.

Selain berlakon, sekarang ini Jee sibuk mengendali premis Port Seni di Ara Damansara yang menyediakan perkhidmatan zumba, latihan vokal, piano, gitar dan bes dengan tunjuk ajar tenaga pengajar profesional.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here