Hadith tak sangka Khai boleh memberi

0
1502
MULANYA Hadith Omar ragu dengan kemampuan Khai Bahar berlakon tapi kini kagum dengan kesungguhan penyanyi itu.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

PELAKON yang kerap berlakon pun belum tentu mendapat peluang untuk memegang watak utama dalam sesebuah drama, inikan pula orang baharu.

Jika pelakon tanpa pengalaman diberi watak besar, sudah pasti akan memberi tekanan kepada pengarah untuk membentuk mereka di set penggambaran.

Bagaimanapun Khai Bahar boleh dikategorikan sebagai artis bernasib baik kerana populariti lagu Satukan Rasa, beliau mendapat tawaran berlakon drama yang menggunkan judul yang sama.

Orang yang bertanggungjawab untuk membimbing dan mengasah bakat lakonan Khai sewaktu di lokasi adalah Hadith Omar yang diberi kepercayaan oleh produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., untuk mengarah drama 20 episod itu.

Jom kita tanya Hadith, bagaimana perasaannya bila kena mengarah karya yang membabitkan orang baharu yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang lakonan.

“Masa mula buat uji bakat dengan Khai, saya dah rasa risau sikit sebab saya nampak dia seorang yang playful. Tapi bila hari pertama di set saya dah nampak Khai ini sebenarnya mempunyai sikap keazaman yang kuat. Kalau dia nak buat, dia akan buat betul-betul, cuma dia pemalu sikit.

“Saya terima tawaran mengarah drama ini kerana suka cabaran dan tak suka benda mudah. Bila dapat Khai sebagai pelakon utama, saya kata ini adalah cabaran untuk saya sebagai pengarah. Saya kena bentuk dia,” ceritanya tentang pemegang watak Jai Bakri itu.

Selepas 40 hari menjalani penggambaran drama Satukan Rasa, Hadith tanpa berselindung memberitahu yang beliau kagum dengan bakat lakonan Khai yang mampu memberi apa saja aksi yang dipinta.

HADITH Omar sedang memberi penerangan kepada pelakon sebelum penggambaran bermula.

“Untuk artis yang tak pernah berlakon, lakonan Khai sangat bersesuaian. Saya boleh nampak perubahan dia dari hari pertama sampai sekarang. Skil lakonannya semakin bagus dan pandai membentuk karakter sendiri untuk melontarkan emosi. Itu yang saya suka dengan bakat Khai. Dia sangat fokus dan faham skrip.

“Kalau nak kata saya tak marah Khai saya rasa selalu juga marah dia. Dan dia selalu cakap dengan saya, kalau dia buat tak betul tolonglah marah. Dia dan Nain antara yang pertama kali berlakon. Mereka tahan dengan teguran saya selalu ambil teguran itu untuk perbaiki kelemahan diri,” katanya.

Tambah Hadith, Khai dan Nain bukan saja mudah menerima teguran tapi mereka juga sentiasa berusaha untuk memberikan mutu lakonan yang terbaik.

Jelasnya, Khai yang pada awalnya malu sewaktu di lokasi kini kelihatan selesa dengan para kru dan berani melontarkan idea.

Begitu juga sewaktu menjalani penggambaran untuk adegan mesra antara watak Jai Bakri dengan Indah Ruhaila, lakonan Siti Nordiana tidaklah semudah yang dilihat.

“Sebenarnya, walaupun mereka rapat dalam kehidupan seharian tapi masa pertama kali nak adegan sweet antara mereka, amat susah. Mereka tergelak-gelak sebab mereka begitu selesa antara satu sama lain.

“Bila nak kena berlakon tentang isi hati, tiba-tiba jadi susah. Saya kena bagi arahan kepada mereka sebab adegan begitu bila berlakon dan kehidupan sebenar berbeza,” katanya.

Tambah Hadith, beliau tidak serik untuk menawarkan Khai berlakon lagi di bawah arahannya jika ada peluang sebab pada pandangannya, penyanyi itu mudah dibentuk.

“Dia dengar kata dan ada potensi besar. Dia juga banyak mengejutkan saya bila ada beberapa adegan yang saya suruh dia buat biasa saja tapi dia berikan yang terbaik. Tak ramai pelakon yang ada usaha sebegitu,” jelasnya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here