FOTO: Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng disambut penyokong selepas memenangi PRK P.165 Parlimen Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian semalam./ NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM.

 

TOPIK yang tular hari ini dalam pelbagai platform media sosial masih berlegar tentang kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) di tangan Barisan Nasional (BN).

Rata-rata reaksi pemimpin PH akur dengan kekalahan itu dan tidak berlengah melihat dalam diri dan tidak mencari kesalahan pihak lawan. Mereka mengecam perebutan kuasa pucuk pimpinan, terutama dalam PKR dan tidak kurang juga keretakan dalam DAP apabila segelintir ahli mempersoalkan prinsip parti tersebut dalam konteks kenegaraan dan perjuangan mereka setelah parti tersebut meletakkan diri di bawah payung PH.

Supremo veteran DAP, Lim Kit Siang antara yang akur dengan kekalahan di Tanjung Piai dan tidak berlengah untuk mempersoalkan kelemahan dalam PH, selain menyeru supaya barisan dirapatkan.

Bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali berkata mesej yang disampaikan pengundi di Tanjung Piai adalah jelas. Dalam tweet beliau lewat semalam, beliau menganggap keputusan tersebut sebagai referendum tentang kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau seterusnya mencadangkan agar Mahathir berundur.

Mesej Syed Husin pantas dikutip oleh beberapa pemimpin, terutama dari dalam kalangan UMNO yang seperti mengambil kesempatan isyarat beliau terus menularkan pelbagai post menuduh Mahathir sebagai punca kekalahan.

Dalam apa yang dilihat sebagai usaha untuk menanam persepsi itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq tampil memohon maaf atas kekalahan itu.

Di penjuru lain pula, Ketua Pemuda PPBM Terengganu Syaiful Irfan Anang menyalahkan kelemahan di pihak ARMADA dan khusus mempersalahkan Syed Saddiq kononnya tidak menjalankan tugasnya sebagai pemimpin yang berkesan untuk memobilisasi jentera Pemuda yang “sangat lemah”.

Bagi pemimpin Ketua Bersatu Negeri Sembilan tan Sri Dr Rais Yatim kekalahan PH di Tanjung Piai bagaikan gegaran letupan.

Dalam Tweet semalam, beliau mengingatkan PH bahawa mereka tidak melihat ke dalam diri maka bersedialah untuk menyaksikan sebuah kerajaan tempang dan tumbang pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden PKR Anwar Ibrahim  menyifatkan keputusan PKR Tanjung Piai sebagai amat mengejutkan. Beliau berkata PH perlu berusaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan memenuhi segala janji yang dibuat.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula  berkata PH akan merapatkan saf kepimpinan berikutan kekalahan tersebut dan mempergiatkan lagi usaha penerangan kepada rakyat.

-BebasNews

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here