Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

PONTIAN – Keputusan Pilihan  Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai malam tadi bukan sahaja mengejutkan ramai pihak, malah yang lebih penting adalah terjemahan hati rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Walaupun pada hari penamaan calon, 2 November lalu, peluang PH yang diwakili Karmaine Sardini diramal ditentang hebat oleh Barisan Nasional (BN) nampak seimbang.

Apatah lagi BN terpaksa mengambil masa dua tiga hari ‘memujuk’ dan menjelaskan, khususnya kepada orang Melayu kenapa calon daripada MCA yang ditampilkan sedangkan mereka inginkan wakil daripada UMNO.

Nyata isu itu dianggap kelebihan kepada PH, apatah lagi calonnya adalah seorang imam serta merupakan anak jati Tanjung Piai, iaitu di Teluk Kerang.

Namun, selepas seminggu kempen berlangsung, nyata sokongan rakyat jelas cenderung kepada BN berdasarkan sambutan terhadap program turun padang yang dilakukan.

Selain faktor calon, iaitu Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng yang sudah dikenali dan mesra dengan penduduk, nyata keberkesanan jentera serta gerak kerja BN jauh lebih teratur.

Mungkin pengalaman sekian lama sebagai kerajaan banyak membantu mereka mengadakan kempen yang dapat menambat hati pengundi, khususnya yang masih menilai calon dan parti mana lebih baik.

Cahaya kemenangan bagi BN juga semakin terserlah apabila sokongan kaum Cina kian meningkat sedangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, peratusan sokongan mereka amat rendah.

Dua ceramah perdana yang dianjurkan BN nyata bukan sahaja menarik kehadiran ramai orang Melayu, malah kaum Cina turut bersemangat mengikutinya.

Misalnya, Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan dua hari sebelum pengundian berjaya menarik kehadiran lebih 15,000 orang berbanding hanya 3,000 orang pada ceramah yang dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sehari sebelum itu.

Walaupun undi kaum Cina pada waktu itu masih ‘samar’ sedangkan mereka sudah berjanji, nyata keputusan yang diumumkan malam tadi membuktikan sokongan pengundi Cina sudah kembali kepada BN.

Sokongan mereka menjadikan jumlah majoriti ‘sungguh tidak disangka’, iaitu 15,086 undi apabila dicampur dengan undi orang Melayu yang memang dilihat kuat kepada BN.

Memang benar kekalahan itu merupakan satu referendum ‘awal’ rakyat kepada kerajaan PH.

Hakikatnya, rakyat tidak lagi boleh dibuai dengan janji retorik selepas memberi kepercayaan kepada PH menerajui negara selepas PRU14.

Harus ingat, kuasa rakyat itu keramat! Tanpa rakyat, pasti tidak akan wujudnya sebuah kerajaan.

Sama ada PH terima atau tidak, rakyat kini sentiasa memerhati dan menilai setiap dasar dan keputusan yang dibuat.

Andai tidak berorientasikan kepentingan  secara holistik, maka rakyat pasti bangkit menentang dan membantah, sekali gus bakal menjatuhkan hukuman menerusi undi yang ada pada mereka.

Nyata tempoh dua tiga tahun ini masa yang amat kritikal kepada PH. Masa ini bukan lagi tempoh bulan madu selepas berjaya menumbangkan BN.

Andai BN yang sudah lebih 60 tahun berkuasa pun boleh ditumbangkan, apalah sangat kerajaan yang baharu ‘setahun jagung’ seperti PH.

Mungkin ada pemimpin PH yang tidak bersetuju, namun perkara itu tidak mustahil sekiranya mereka tetap terus mendabik dada dan enggan mengakui realiti.

Antara faktor yang memberi sumbangan besar terhadap kekalahan PH adalah ‘kegagalan’ menunaikan janji manifesto pada PRU14 lalu.

Hanya ingin menyebut sebahagian janji seperti penurunan harga minyak, pemansuhan tol dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hingga kini pemimpin yang menjadi ‘juara’ dalam isu itu sebelum ini hanya senyap, ibarat sudah bisu.

Mungkin pada tahun pertama rakyat masih bersabar dan memberi peluang, tetapi hampir dua tahun habuk pun tidak ada, apatah lagi ada inisiatif untuk melaksanakannya.

Malah, kononnya janji itu untuk meringankan beban, namun kini rakyat semakin dibebani dengan peningkatan harga barang dan kos hidup.

Lebih menekan, keadaan ekonomi dan nilai ringgit yang menjunam semakin merimaskan kehidupan rakyat.

Justeru, kerajaan PH harus muhasabah diri dan menilai setiap kelemahan dan kelebihan yang ada supaya menjadi lebih baik sekiranya tidak mahu dihukum rakyat pada PRU15 nanti.

Rakyat menerusi pengundi Tanjung Piai sudah menghantar isyarat jelas, terserah kepada kerajaan PH untuk menilai dan bertindak.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here