Shahriman cabar KHM sasar 5, 10 teratas dunia

0
230
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal (tengah) bergambar bersama kepimpinan baru selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MHC ke-66 bagi penggal 2019-2023 di Seri Kembangan hari ini. --fotoBERNAMA

Oleh KAKI BANGKU

BARISAN kepemimpinan baharu Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) penggal 2019-2023 yang dipilih semalam, dicabar supaya meletakkan sasaran membawa Malaysian Tigers ke antara lima atau 10 teratas dunia.

Secara sinis Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin menambah, barisan pimpinan Datuk Seri Subahan Kamal ini sebagai yang terbaik dalam sejarah hoki negara.

“Jadi buatlah tugas anda dengan baik. Saya tidak nafikan kehebatan mereka dan saya akan sokong mereka. Saya pun akan tabur bakti dari luar KHM,” katanya.

Shahriman yang juga Presiden Kanu Malaysia (Masca) menarik diri daripada pencalonan Timbalan Presiden konfederasi itu sehari sebelum mesyuarat agung tahunan pemilihannya di ibu kota.

Beliau ditemui selepas majlis makan malam Yayasan Hydrocephalus Negara (YHN)di Pusat Komuniti Bukit Damansara, Kuala Lumpur yang turut mengumumkan pemilihan pelumba basikal para, Afiq Afify Rizan sebagai ikon mereka.

Shahriman selain itu menggesa KHM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wujud unsur-unsur tidak sihat melibatkan delegasi pegawai ketika skuad negara menghadapi Kelayakan Olimpik di London, awal bulan ini.

“Saya mewakili persatuan negeri ahli gabungan KHM, berharap pihak berkuasa juga mulakan siasatan dakwaan itu walaupun dengan saya yang tiada kena-mengena dengan unsur-unsur tidak sihat ini.

“Kalau KHM tidak mahu buat (benarkan siasatan), biarlah saya sebagai warga Malaysia yang bertanggungjawab yang buat,” tegasnya.

Suasana mesyuarat agung pemilihan pucuk pimpinan KHM semalam pula ibarat hanya ‘bermain penalti flik tanpa penjaga gol lawan’.

Dengan jawatan Presiden dan kedua-dua Timbalan Presiden hanya mengesahkan kemenangan tanpa bertanding, persaingan bagi Naib Presiden pula jelas sudah diduga siapa pemenangnya.

Subahan kekal menyandang kerusi panas itu buat sepenggal lagi, begitu juga Prof. Datuk S. Shamala selaku Timbalan Presiden KHM (Wanita) manakala muka baharu di jawatan No. 2 (Lelaki) pula sah milik Jadadish Chandra.

Ketujuh-tujuh Naib Presiden KHM yang dipilih juga merupakan muka baharu iaitu Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, Shurizan Mansor, Hasnizam Hassan, Ranjit Singh Gurdial Singh.

Dua lagi penyandang Naib Presiden Wanita yang menang ialah Rogayah Mohamad
Datin Mary Sadiah Zainuddin dengan masing-masing meraih undi tertinggi, 24 dan 22.

Anil dan Najmi juga beroleh 22 undi diikuti 17 undi milik Hasnizam, Ranjit (13) dan Shurizan (12) dalam persaingan Naib Presiden yang membabitkan 13 calon termasuk bekas pemain negara, Rodzhanizam Mat Radzi.

Subahan dalam sidang akhbar selepas keputusan diumumkan semalam tidak menafikan satu dua ahli gabungan yang mempunyai hubungan tegang dengan pucuk pimpinan KHM.

“Saya rasa lebih 90 peratus ahli gabungan KHM tiada hubungan tegang. Hanya ada mungkin satu, dua itupun ada yang berbelah bahagi. Tidak jadi masalah malah kami akan berhubung dengan mereka yang tidak berpuas hati itu.

“Saya akan pastikan barisan kali ini akan turun padang bersama saya untuk memberikan komitmen kerana pemilihan ini bukan untuk memanaskan kerusi tetapi untuk pastikan mereka bekerja dan sukan hoki subur di peringkat akar umbi,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here