PEMUDA PPBM Terengganu hari ini mempersalahkan ketua nasionalnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas kekalahan yang dialami calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai semalam.

Ketua Pemuda PPBM Terengganu Syaiful Irfan Anang berkata, Syed Saddiq yang juga merupakan ketua Pemuda PH tidak menjalankan tugasnya sebagai pemimpin yang berkesan untuk memobilisasi jentera Pemuda yang “sangat lemah”.

“Teguran perlu diberikan kepada beliau (Syed Saddiq) kerana realitinya pada PRK sebelum ini dan kali ini, PH mengalami kekalahan yang sangat mendukacitakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam PRK semalam calon Barisan Nasional (BN) Wee Jeck Seng mengalahkan calon PH, Karmaine Sardini dengan majoriti besar 15,086 undi untuk merampas semula kerusi berkenaan.

Syaiful Irfan juga menolak keras kenyataan bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali yang sebelum itu menyifatkan kekalahan di Tanjung Piai memperlihatkan kekecewaan rakyat terhadap PH, terutamanya kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau sebaliknya berkata, keputusan pengundi untuk tidak menyokong PH berpunca daripada pelbagai isu yang tidak diselesaikan dengan baik melibatkan menteri belia dan sukan itu, terutamanya berkaitan istana Johor.

Katanya, Syed Saddiq perlu menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi, sekali gus memperkasakan akar umbi dan Pemuda PH.

“Ketua Pemuda PH perlu bermuhasabah dan segera menyelesaikan pelbagai konflik dan perkasakan akar umbi dan barisan Pemuda PH supaya PH akan bertambah maju dan berjaya,” katanya.

Syed Saddiq dalam kenyataan pertama beliau berikutan kekalahan besar PH di Tanjung Piai malam tadi meminta maaf atas kekalahan tersebut, selain berkata “kemarahan rakyat” di situ perlu dijawab dengan tindakan di pihak gabungan kerajaan itu.

“Kekalahan ini pahit untuk ditelan. Rakyat sudah bersuara. Suara rakyat, suara keramat.

“Secara ikhlas saya meminta maaf kepada Pemuda atas kelemahan saya,” katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Muar.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/11/17/syed-saddiq-bukan-dr-m-punca-ph-kalah-di-tg-piai-kata-pemuda-ppbm-tganu/
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here