Ayda Jebat bukan gadis biasa

0
2046
AYDA Jebat lebih memilih menerima tawaran berlakon.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
KENAPA pelakon berpengalaman mendapat bayaran yang sama dengan pelakon baharu. Isu itu hangat diperkatakan dalam industri seni lakonan tanah air sekarang.

Kalau di Hollywood, semakin lama pelakon itu terlibat dalam bidang lakonan, bayaran untuknya lebih besar berbanding wajah baharu. Namun senario itu tidak berlaku kepada penggiat seni tanah air.

Ketika ditanya isu berkenaan, Ayda Jebat berpendapat, perkara itu berlaku kerana zaman sudah berubah dan penggiat seni perlu mengikut arus semasa.

“Kalau boleh saya tak nak komen panjang sebab saya tak tahu situasi macam mana. Tapi bagi saya zaman dah berubah. Bagi saya tak kira siapa pun pelakon, kita kena terima sekarang ini siapa on top.

“Sama macam saya juga, mungkin satu hari nanti, saya sebagai pelakon lama dan pelakon baharu akan dapat bayaran yang sama. Saya tak boleh nak cakap apalah sebab memang level pelakon baharu itu kat situ.

“Bagi saya, artis lama dah kecapi zaman kegemilangan mereka. Sekarang ini bagilah peluang kepada pelakon baharu untuk capai dan rasa apa yang mereka dapat dulu. Macam tulah bagi sama rata,” kata Ayda menyuarakan pandangannya.

Jelas Ayda, beliau tidak kisah jika pelakon baharu mendapat bayaran lebih, asalkan apa yang diberi setimpal dengan bayaran yang diterima.

Selain itu, kata Ayda, beliau adalah jenis yang boleh bertolak ansur tentang bayaran namun harus relevan dengan kudrat yang diketengahkan dari segi lakonan.

“Kadang-kadang orang rasa hero dan heroin kena bayar tinggi. Saya tak percaya kata-kata itu, sebab bagi saya kadang-kadang watak hero dan heroin ini lebih sikit saja daripada pembantu.

“Kalau itu berlaku, saya sendiri akan cakap, kurangkan bayaran saya dan bagi pada pelakon lain. Saya rasa mungkin rezeki yang saya dapat itu boleh dikongsi dengan orang kerana mungkin dia lebih memerlukan,” katanya yang bermurah hati itu.

Bagi Ayda, apa yang dilakukan sekarang bukan kerana wang tapi disebabkan minat. Katanya, lakonan tidak dapat memberinya wang sebagai punca pendapatan.

“Sekarang ini kerja saya bukan kerana duit. Saya lebih fikirkan passion. Kalau nak fikir soal duit, saya sudah ada duit. Maksud saya kalau nak buat duit bukan melalui lakonan. Jujur saya cakap, lakonan tak bagi kita duit.

“Kalau nak kumpul duit adalah melalui royalti lagu, persembahan dan endorsement. Untuk lakonan, tak boleh mendatangkan duit. Saya pilih mana yang saya suka dan yang boleh cabar kredibiliti saya sebagai pelakon,” jelas Ayda tentang prinsip kerjanya.

Beliau yang bakal berada di lokasi Bukan Gadis Biasa terbitan JS Pictures hujung November ini berkata, untuk drama tersebut pasangan lakonnya adalah Remy Ishak.

“Bukan Gadis Biasa untuk slot Samarinda, yang bakal disiarkan pada Ramadan tahun depan. Saya masih lagi dengan JS Pictures kerana karya-karyanya berkualiti, saya tak cakap produksi lain tu tak pentingkan benda itu.

“Mungkin arah yang mereka pilih tu sama dengan apa yang saya hendak. Sebab cerita cinta-cinta dah banyak saya buat, jadi bila mereka ada idea dan memilih isu semasa untuk diketengahkan, saya suka.

“JS Pictures tidak terikut dengan novel, kalau terpaksa ikut novel pun mereka akan ubah jalan ceritanya sedikit. Saya suka dengan cara kerja mereka. Untuk Bukan Gadis Biasa ini saya perlu potong rambut pendek, kena belajar bawa motor dan belajar kick boxing. Wataknya tak tomboi tapi sejarah lalu yang buat dia jadi begitu,” cerita Ayda.

Sementara itu, Ayda merupakan antara artis yang akan menjayakan StereoFest – Festival Muzik Melayu di Palawan Green, Sentosa, Singapura pada 22 dan 23 Februari 2020. Untuk festival tersebut, Ayda akan muncul pada hari pertama acara dan diberi ruang selama 45 minit untuk mengadakan persembahan.

“Saya mungkin akan nyanyi enam buah lagu sebab susunan muzik untuk lagu saya telah digubah semula. Mungkin pada persembahan itu nanti saya akan dendangkan sebuah lagu baharu.

“Lagu itu terdapat dalam album baharu saya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Setakat ini lagu balada telah siap dirakam. Itulah sebab jadual kerja saya padat, terpaksa curi-curi waktu untuk masuk studio rakaman.

“Ini pun penggambaran drama Bukan Gadis Biasa akan berakhir pada 20 Februari tahun depan. Habis saja penggambaran saya akan ke Singapura untuk StereoFest, 23 Februari balik Malaysia, sebelah malam hari yang sama saya akan pergi menunaikan umrah.

“Pergi umrah dengan bapa dan Shila Rusly serta beberapa kawan. Sebenarnya dah lama saya nak pergi umrah dari dua tiga tahun lepas, tapi tak perg-pergi sebab banyak masalah menimpa. Alhamdulillah, kali ini dipermudahkan. Harap-harap sampailah,” katanya penuh harapan.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here