Garuda ‘robek sayap’ tetap berbahaya – Matyo

0
237
YEYEN Tumena (dari kiri) dan pemain Indonesia, Yanto Basna yang bersalaman dengan bek tengah negara, Shahrul Saad di samping Tan Cheng Hoe dalam sidang akhbar praperlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Oleh KAKI BANGKU

KETUA jurulatih sudah bertukar, beberapa pemain baharu dibawa masuk dan dirundung empat kekalahan berturut-turut sejak 5 September lalu.
Adakah semuanya melabelkan Indonesia ‘budak belasahan’ Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menjelang pertembungan dengan Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok?

Sang Garuda kini dikepalai sementara jurulatih tempatan, Yeyen Tumena dan bukan lagi warga Scotland, Simone McMenemy sejak tiga hari lalu sebaik sahaja membuka kem latihan di Kelana Jaya, Selangor.

Mereka diaibkan Malaysia 3-2 diikuti oleh Thailand 3-0 di Gelora Bung Karno, Jakarta, dibelasah Amiriah Arab Bersatu (UAE) 5-0 di Dubai malah ditewaskan Vietnam 3-1 biarpun berpindah ‘sarang’ ke Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali pada 15 Oktober lalu.

“Biarpun kalah empat perlawanan, tidak bererti Indonesia pasukan belasahan. Mereka juga pasukan yang kuat. Malaysia masih perlu berjaga-jaga.

“Pasukan kita tidak boleh terlalu yakin walaupun saya akui moral pemain telah meningkat selepas mengalahkan Thailand 2-1 (di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu),” kata Norshahrul Idlan Talaha.

Peranan penyerang tunggal juga dijangka terpikul pada bahu anak jati Besut, Terengganu berusia 33 tahun ini ekoran penggantungan satu perlawanan terhadap Syafiq Ahmad kerana mengumpul dua kad kuning.

Tiga perlawanan awal dengan Indonesia, UAE dan Vietnam menyaksikan Matyo menganggotai kesebelasan utama negara namun ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe mengetepikannya ke bangku simpanan, Khamis lalu.

“Saya hanya beraksi 10 minit ketika persahabatan dengan Tajikistan (menang 1-0, 9 November lalu) namun sesiapa pun pemain jika diturunkan, tetap memikul tanggungjawab untuk menyumbang dan membawa kejayaan pasukan,” katanya.

Yeyen, 43, bekas bek kiri Indonesia sebelumnya cuma penolong McMenemy tetapi kini dibantu Joko Susilo dan Alan Haviludin, menggalas tugas berat untuk menamatkan kemarau mata Garuda dalam kelayakan ini.

McMenemy turut berada di Malaysia sejak Rabu lalu dan menjadi pemerhati perlawanan persahabatan Garuda yang menewaskan skuad Piala Presiden PKNS FC 3-0 di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Dia yang mula mengendalikan pasukan Indonesia pada 20 Disember 2018, dikatakan telah dipecat Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) pada 6 November lalu manakala dua calon penggantinya secara tetap turut diundang ke Bukit Jalil esok.

Mereka ialah Luis Milla dari Sepanyol dan warga Korea Selatan, Shin Tae-yong.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here