Oleh NAFSIAH JANI

BAGI peminat kumpulan New Boyz dan Tomok jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kumpulan ini beraksi semula setelah lebih 20 tahun menyepikan diri. Kumpulan yang popular sekitar 1999 akan kembali bergandingan dalam sebuah festival di Singapura.

Tomok bakal bergandingan bersama dengan bekas anggota New Boyz iaitu Shahrizan Mat Saleh (Jay), Mazlan Ismail (Lan), Mat Shah Mat Salleh (Along), Radin Irwan Dzulkarnain Isagani (Zack) dan anggota baru mereka iaitu Ridza Faitullah (Rizz) dan Wan Muzaffar (Ristoe).

Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 35 berkata, kini dia bersama kumpulannya New Boyz tengah merancang untuk mengadakan konsert sempena ulang tahun ke-20 kehadiran mereka di persada seni.

“Sebelum konsert, kami semua akan muncul buat pertama kalinya di Singapura. Kemunculan kami nanti bukannya untuk konsert New Boyz sebaliknya kami dijemput menyertai Festival Muzik Melayu yang bakal berlangsung di Palawan Green Sentosa, Singapura pada 22 dan 23 Februari 2020.

“Selain New Boyz ada lebih 15 artis dari Malaysia, Singapura dan Indonesia yang terbabit dalam festival tersebut. Bagi peminat kami yang merindui New Boyz datanglah beramai-ramai kerana ini merupakan penampilan pertama New Boyz setelah beberapa tahun tidak pernah muncul untuk perform secara live.

Tomok yang ditemui pada majlis pelancaran lagu Sumayyah 2019 bersama Kumpulan Hijjaz dan pencarian ikon muslimah Sisfel Mencari Sumayyah menambah,“Persembahan kami pada 23 Februari jadi bagi mengubati kerinduan peminat New Boyz bolehlah datang kerana saya akan menyanyikan lagu-lagu popular New Boyz antaranya Sejarah Mungkin Berulang, Meraung, Rajuk di Hati, Norkia dan banyak lagi.’’

Selain kumpulan New Boyz, persembahan pada 23 Februari turut dimeriahkan dengan penampilan Elizabeth Tan, Andi Bernadee, Zee Avi, Fauzie Laily, Hyrul Anuar dan Syed.

Manakala persembahan 22 Februari pula akan dijayakan Judika, Ismail Izzani, Ayda Jebat, Jaz dan Rahila Rashun.

Selain sibuk menyanyi, Tomok juga kini sibuk dengan Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur (UUM). Tomok bakal menamatkan pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif bersama-sama Zahid Af, Fattah Amin, Aril Af dan ramai lagi rakan selebriti pada tahun hadapan.

Tomok juga kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri sebanyak 20 episod bertajuk TQ Captain bergandingan dengan Hisyam Hamid.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here