Safawi pelibas tongkat paling ‘rare’

0
313
BAYANGKAN jika Safawi Rasid beralih sebagai apit kanan pelibas kidal sepak takraw negara gaya tongkat (handstand) dengan sepakan derasnya ini.

Oleh KAKI BANGKU

JIKA bukan pemain bola sepak dengan Harimau Malaya dan Harimau Selatan (Johor Darul Ta’zim – JDT) seperti sekarang, Safawi Rasid pasti turut mencipta nama sebagai perejam sepak takraw negara.

Mungkin juga bukan Piala Malaysia yang menyaksikan kejayaannya, 2 November lalu tetapi Piala Emas Khir Johari atau sebuah liga TV sekarang sehingga sebaris dengan ramai apit kanan handalan negara.

Ramai pelibas hebat negara berasal dari Terengganu antaranya Hanafiah Dolah, Fadzli Roslan, Rosmadi Ghani, Yusof Chik, Ridaudin Ghani, Hamikhairi Roslan dan Kamal Alfiza Shafie tetapi kebanyakannya pengamal gaya kalih atau gulung.

Anak jati Kampung Bukit Chatak, Dungun ini sebenarnya mahir dengan libasan tongkat (handstand) yang hampir pupus atau sudah jarang-jarang diamalkan oleh mana-mana apit kanan alaf baharu.

“Bapa saya Rasid Sulung juga ialah bekas perejam gaya tongkat negeri Terengganu,” katanya yang membolot empat kategori Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 di Bangi, Selangor, Jumaat lalu.

Sayap JDT berusia 22 tahun ini, bergelar Pemain Paling Bernilai, Penyerang Terbaik, Pemain Paling Popular dan Penjaring Terbanyak Pemain Tempatan ABK yang mengiktiraf prestasi sepanjang Liga Malaysia musim ini.

“Saya menggemari libasan tongkat walaupun ramai orang kata, mudah ditampan lawan sebab agak rendah di depan jaring.

“Selain bola sepak, saya pernah mewakili pasukan sepak takraw negeri (sebagai pelajar Sekolah Sukan Bukit Nenas, Marang, Terengganu) bagi peringkat Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

“Biasanya saya membuat libasan seolah-olah gaya gulung cuma tangan saya akan menahan dan menjejak lantai gelanggang bila kaki sudah mengenai dan merejam bola sepak takraw,” katanya.

Sekalipun mungkin mampu ditampan, lawan pasti merasai keperitan rejaman derasnya atau terpaksa berfikir dua kali sebelum tetap cuba mahu mengadang sama ada dengan kaki atau badan.

Kederasan rembatan Safawi ini juga kerap terbukti di gelanggang bola sepak yang menggegar gawang Kedah dalam final Piala Malaysia dan persahabatan antarabangsa menentang Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, bulan ini.

Di Malaysia, perejam yang terkenal dengan gaya tongkat ialah Ibrahim Abu Bakar dan Yahya Kadir pada era 80-an yang membantu Melaka menjulang Piala Emas Khir Johari dan kategori Kebangsaan Kejohanan MAS-Utusan Malaysia.

Musuh tradisi Thailand turut mempunyai seorang pelibas gaya bertopang tangan ini, Sahachat Sakoncharoen namun dia sudah tenggelam jika dibandingkan dengan Pornchai Kaokaew, Anuwat Chaichana dan Thawisak Thongsai.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here