SAYA tidak mengatakan ini kerana keputusan (PRK) di Tanjung Piai, tetapi kerana saya melihat negara ini merosot teruk ke belakang dan pada masa yang sama bergerak tanpa sebarang arah.

Apabila perunding Bersih 2.0, Wong Chin Huat dilarang masuk ke Sarawak, jelas bahawa salah guna kuasa masih berleluasa di negara ini. Kerajaan persekutuan seolah-olah tidak mempunyai kuasa untuk mengubal dasar yang betul dan menasihatkan kerajaan negeri supaya bertindak dengan sewajarnya.

Melarang penduduk dari semenanjung ke Sabah dan Sarawak mestilah dilakukan dengan tujuan yang sah; dan perbezaan politik bukanlah tujuan yang sah. Tiada negara di dunia yang melarang rakyatnya untuk bergerak bebas ke seluruh negara kecuali Malaysia. Ini pun tidak dapat dibetulkan oleh kerajaan PH hari ini.

Terdapat banyak cakap-cakap tentang mempertahankan hak dan maruah Melayu di Tanjung Piai, dari kedua-dua pihak. Walau bagaimanapun, tidak ada yang bercakap mengenai nasib para pelajar kita di sekolah-sekolah tahfiz.

Begitu banyak kisah mereka yang menyedihkan dan nasib malang pelajar di sekolah-sekolah tahfiz, tetapi tiada seorang pun pemimpin negara kita yang memandang serius perkara itu dan tampil membela mereka.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun mati akibat dibelasah dan didera secara fizikal oleh pelajar senior, dan tiada seorang pun yang berkempen di Tanjung Piai membangkitkan perkara itu.

Tidak ada seorang pun pemimpin yang menuntut kerajaan supaya mengadakan inkuiri; atau menuntut akauntabiliti atau kebertanggungjawaban oleh pihak pemilik sekolah.

Seolah-olah nyawa pelajar tujuh tahun itu tidak penting. Kerajaan seharusnya bersedia untuk membentuk sebuah suruhanjaya untuk membincang dan mencadangkan jenis sekolah tahfiz yang kita perlukan, dan yang siapa yang menguatkuasakan peraturan-peraturan ini.

Pada tahun 2017, kira-kira 21 pelajar dan dua guru meninggal dunia ketika kebakaran di sebuah sekolah tahfiz di Keramat, Kuala Lumput. Tidak ada siasatan awam dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran kecuali penjelasan daripada Jabatan Bomba mengenai punca kematian. Menurut laporan itu, pelajar berkenaan terkunci dan gagal membuka tingkap asrama dari dalam.

Ramai juga pelajar sekolah tahfiz mati akibat kemalangan jalan raya. Ini kerana mereka melakukan banyak perjalanan. Adakah kerajaan tahu mengenai kegiatan sekolah tahfiz; dan adakah mereka mengambil berat tentang kebajikan dan keselamatan pelajar? Atau adakah ia terlalu sensitif untuk bertanya soalan-soalan ini semasa kempen Tanjung Piai?

Jika kerajaan dan menteri-menteri ini peduli dengan nasib orang Melayu; mereka boleh melakukan lebih baik daripada hanya melaungkan slogan kosong mengenai “hak” atau maruah Melayu demi kepentingan politik masing-masing.

Mereka mesti bertanya kenapa tujuh tahun di sekolah tahfiz dan bukan di sekolah biasa. Menteri seharusnya mengetahui bahawa mengikut undang-undang, pendidikan sekolah rendah adalah wajib mengikut Akta Pendidikan.

Anak-anak Melayu mesti menghadiri “pendidikan biasa” seperti yang ditakrifkan di bawah akta berkenaan tetapi kita lihat ramai anak-anak Melayu di sekolah-sekolah tahfiz.

Ibu bapa mesti diberi pilihan untuk menghantar anak-anak ke sekolah biasa atau sekolah tahfiz; tetapi hanya selepas kanak-kanak telah menjalani tempoh mandatori pendidikan standard atau lazim.

Jika kita tidak menguatkuasakan keperluan untuk menjalani pendidikan biasa untuk anak-anak Melayu; maka tidak lama lagi orang Melayu akan ketinggalan lebih jauh dan terkebelakang lagi dalam dunia baru ini.

Mereka akan hilang dan ditinggalkan dalam mengejar pengetahuan dan kemahiran, yang mereka perlukan untuk terus hidup. Mereka akan terdedah kepada kehancuran diri dan hidup penuh dengan keputusasaan

Malaysia memerlukan seorang pemimpin baru yang boleh membawa negara ke jalan yang betul. Kita memerlukan pemimpin yang sanggup melakukan perkara yang betul untuk golongan muda di negara ini, walaupun individu mungkin berdepan dengan risiko.

Pemimpin politik yang pandai memastikan mereka “selamat” dengan memecahbelahkan lawan mereka tidak berkhidmat kepada sesiapa sahaja kecuali diri sendiri. Atas sebab itul saya tidak peduli dengan keputusan di Tanjung Piai.


DATUK ZAID IBRAHIM adalah bekas senator dan anggota kabinet Malaysia. Artikel ini diterbitkan kali pertama di blog beliau dalam bahasa Inggeris dengan judul Can Malaysia have a new leader please?

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here