ANGGOTA majlis tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa anggota Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein mengetuai pertemuan sekumpulan anggota parlimen di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali di Putrajaya malam tadi.

Beliau berkata, Hishamuddin sekali lagi mengkhianati rakyat Malaysia khususnya pengundi di Tanjung Piai yang baru sahaja memenangkan calon BN dua hari lalu.

“Apa pula alasan yang mahu beliau berikan apabila beliau membawa 22 orang MP BN ke rumah menteri ‘semburit’ Azmin Ali di Presint 8, Putrajaya?

“Walaupun bukan semua 22 MP ini menyokong Mahathir, tidakkah beliau sedar betapa kecewanya ribuan jentera BN dan PAS yang berkerja keras di Tanjung Piai apabila beliau melakukan pengkhianatan ini,” kata Lokman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tengah malam tadi, kira-kira sejam selepas pertemuan itu diadakan.

Sumber berkata sekurang-kurangnya 22 anggota parlimen BN dan lima anggota parlimen PKR hadir pada pertemua itu,

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar, antara anggota parlimen PKR yang dilihat turut berada di kediaman Azmin malam tadi.

Azmin dan Hishammuddin sebelum ini dikatakan terlibat dalam usaha menggerakkan sokongan anggota parlimen terhadap Mahathir dan menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim daripada mengantikannya sebagai perdana menteri.

Tekanan terhadap Mahathir meningkat berikutan kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil Tanjung Piai Sabtu lepas, di mana beberapa pemimpin gabungan itu menyalahkan perdana menteri.

Bagaimanapun, Azmin secara tegas mempertahankan Mahathir.

Gesa Umno ambil tindakan tegas 

Lokman, dalam kenyataannya, mendakwa Hishammuddin bertindak sebagai “orang tengah” bagi Mahathir, yang merupakan pengerusi Bersatu.

“Sebelum ini Hisham bermaharaja menjadi orang tengah Tun Mahathir untuk membawa masuk pimpinan dan MP Umno ke PPBM (Bersatu) tanpa sebarang tindakan disiplin daripada pimpinan Umno.

“Setiap kali bila diajukan soalan kenapa beliau menghasut MP Umno untuk menyertai PPBM, beliau kerap memberi alasan beliau mengepung MP-MP BN bagi mengelakkan mereka menyertai PPBM,” katanya.

Lokman berkata beliau telah membuat aduan disiplin terhadap Hishammuddin pada 30 Okt lalu.

“Saya mengesa agar siasatan segera dijalankan dan tindakan disiplin diambil kepada mereka yang mempengaruhi pimpinan dan MP Umno untuk menyokong kepimpinan Mahathir, mahupun Azmin, sekali gus menghampakan harapan rakyat untuk melihat parlimen dibubarkan.

“Tindakan Hisham bertentangan dengan keputusan MT Umno yang sudah pun memutuskan tiada kerjasama akan dijalankan dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

” Saya berharap tiada pihak mempertahankan pengkhianatan yang dilakukann oleh Hishammuddin ini. Parti perlu mengambil tindakan tegas,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/500338
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here