KUALA LUMPUR — Tan Sri Abdul Gani Patail diberhentikan sebagai Peguam Negara kerana bekas Perdana Mentari, Datuk Seri Najib Razak hilang kepercayaan terhadapnya berhubung Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib turut memberi arahan kepada bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa untuk memastikan supaya Abdul Gani tidak membawa sebarang dokumen keluar daripada pejabatnya ketika surat pemberhentian diserahkan kepadanya.

Ia turut membawa kepada pemberhentian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mempersoalkan mengenai skandal 1MDB pada mesyuarat Kabinet.

Ali, 64, yang memberikan keterangan dalam perbicaraan kes pindaan Laporan Pengauditan 1MDB dihadapi Najib, berkata beliau sendiri menyerahkan surat pemberhentian jawatan kepada Abdul Gani di pejabat bekas Peguam Negara itu.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhubung isu hilang kepercayaan itu, Ali pada awalnya teragak-agak untuk menjawab.

Bagaimanapun , Sri Ram mengingatkan saksi; “jawab saja kerana ini adalah mahkamah. Jangan diam”.

Ali menjelaskan, ketika surat itu diserahkan, beliau memberitahu Abdul Gani bahawa dia (Abdul Ganu) akan disingkirkan daripada jawatan Peguam Negara.

“Saya duduk dengan Abdul Gani dan memberitahu perkara itu dan dia menjawab sudah mengetahui ia (perkara) pasti berlaku.

“Proses surat (penamatan) melalui Yang di-Pertuan Agong adalah dengan memaklumkan berhubung jawatan Abdul Gani sebagai Peguam Negara dihentikan.

“Surat itu disediakan oleh setiausaha saya bersama Najib dan saya yang menandatangani surat itu,” katanya.

Sri Ram: Bagaimana kamu beritahu Abdul Gani berhubung pemberhentian itu?

Ali: Ia seperti arahan Najib iaitu serah surat kepada Gani dan jangan benarkan sebarang dokumen keluar dari pejabatnya.

Saksi itu keempat pendakwaan itu menjelaskan dalam pemeriksaan utama,penamatan jawatan Abdul Gani turut menyebabkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut diberhentikan.

“Dalam mesyuarat kabinet Muhyiddin mempersoalkan mengenai 1MDB….Kami yang berada dalam mesyuarat itu dapat merasai sesuatu akan berlaku.

“Tekaan itu betul apabila Muhyiddin turut disingkirkan dari jawatannya sebagai timbalan perdana menteri,” katanya.

Tambah beliau, isu lain yang berkaitan adalah membabitkan pertemuan di antara Abdul Gani dan Muhyiddin di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Beliau bagaimanapun tidak boleh memberi sebarang kesimpulan atau membuat andaian bahawa perkara itu mungkin menjadi salah satu penyebab pemberhentian Muhyiddin.

Sri Ram: Bagaimana reaksi tertuduh ketika disoal mengenai 1MDB (dalam mesyuarat Kabinet)?

Ali: Najib tenang dan menjawab soalan Muhyiddin dan ada ketikanya soalan itu dijawab oleh orang lain.

Sri Ram: Apa yang berlaku kepada Muhyiddin selepas itu?

Ali: Saya rasa Muhyiddin turut disingkirkan.

-BH
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here