Anda berani menegur perokok?

Perokok perlu belajar menyesuaikan diri untuk tidak merokok di kawasan larangan atau terbaik belajar berhenti merokok.

0
207

“BRO, tak boleh merokok di sini, hormati pengguna tandas yang lain”. Dialog itu adalah salah satu contoh teguran kempen larangan merokok di tempat awam. Bersediakah anda menasihatkan perokok yang merokok di dalam tandas? Jawapannya pro dan kontra. Bagi yang tahu haknya pasti akan bersuara kerana tindakan perokok merokok terutama ketika menunaikan hajat membuang air besar akan menyebabkan bau asap melekat pada pakaian orang lain. Bukan perokok akan rasa rimas apabila pakaiannya ‘dihinggap’ bau asap rokok.

Bagi yang bimbang teguran itu menyebabkan perokok panas baran akan memilih untuk diam dan marah dalam hati. Pelbagai makian melintas di fikirannya. Namun teguran itu bukan kesalahan kerana wujud undang-undang atau peraturan berkaitan. Orang ramai ada hak untuk mempertahankan peraturan. Wajarkah seseorang berdiam diri jika jelas di hadapannya ada orang melakukan kesalahan?

Dialog lain yang terdapat dalam kempen ini termasuklah : Walaupun saya kecil, saya berhak bersuara; Adik bangga abah tidak merokok; Bang, jangan merokok kat bus stop, saya lemaslah dengan asap rokok ni; Bang, tempat kerja mana boleh hisap rokok! ; Encik, ini kedai makan, mana boleh hisap rokok!

Jika minum arak di khalayak dibenarkan di sebuah negeri tetapi lain pula dengan merokok. Merokok termasuk di tandas awam adalah satu kesalahan. Tandas tempat membuang ‘benda yang perlu dibuang’ adalah salah satu daripada 23 lokasi atau kawasan larangan merokok yang diwartakan mengikut Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Mereka yang didapati bersalah dan melanggar undang-undang ini boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Justeru jika anda ingin menyelamatkan wang perokok, nasihatlah mereka. Mungkin anda akan diherdik atau dimaki. Anggap sahaja teguran itu untuk mendidik dan ‘menyelamatkan’ mereka. Ada berani ? Perokok pula terimalah teguran dan belajar hormati orang lain. Perokok perlu belajar menyesuaikan diri untuk tidak merokok di kawasan larangan atau terbaik belajar berhenti merokok. Ketika ini penguatkuasaan pendidikan sedang dilaksanakan, belum ada saman atau denda dikeluarkan.

Sehingga 1 Januari 2020, Kementerian Kesihatan akan mempertingkatkan usaha untuk mendidik perokok supaya tidak merokok di premis terbabit. Bukan perokok pula perlu mempertahankan hak mereka untuk menikmati udara bersih tanpa asap rokok. Justeru suarakan hak anda seperti kempen yang sedang dilakukan.

Kempen yang disebut di atas ada di tren komuter KTMB. Semalam, ketika memasuki tren komuter dari Kajang ke Bangi, terpampang pelbagai ‘iklan’ berkaitan kempen larangan merokok di tempat awam. Iklan itu membaluti tren berkenaan. Di bahagian dalam tren pula terdapat iklan di ruang pintu serta di belakang tempat duduk. Konsep yang digunakan adalah ‘bercakap’ , menyuarakan atau teguran berbentuk nasihat.

Mungkin tema kempen ini Suarakan Hak Anda atau Speak Out. Nikmati udara bebas asap rokok. Dialog permulaan artikel ini adalah antara iklan yang dipamerkan. Kempen seumpama ini mungkin lanjutan Kempen Tak Nak yang pernah dilancarkan dahulu. Kempen seumpama perlu diperluaskan supaya perokok rasa bersalah jika melakukannya. Biar perokok insaf tindakannya menjejaskan kesihatan orang lain.

Hanya mereka yang tidak bersekolah, tidak tahu membaca atau buta huruf sahaja yang tidak memahami dialog atau teguran melalui kempen berkenaan.

Sama ada kempen Tak Nak berjaya atau tidak, kempen kesedaran yang baharu dan lebih berkesan perlu dilakukan. Jangan mengalah. Ketika tempoh ‘mendidik’ tidak perlu denda atau saman serta merta. Beri mereka tempoh walaupun larangan itu bukan sesuatu yang baharu.

Biar mengambil masa tetapi yang penting perokok boleh terima undang-undang yang bakal dikuatkuasakan. Ketika ini ramai yang patuh larangan ketika berada di restoran, walaupun jaraknya bukan lagi tiga meter tetapi pelbagai. Mungkin penguatkuasaan denda atau saman belum dilaksanakan.

Selain kempen mendidik ini, kementerian juga menyediakan kemudahan di 731 klinik kesihatan dan 46 hospital di seluruh negara dengan bayaran hanya RM1 bagi membantu perokok berhenti atau mengurangkan tabiat merokok mereka. Perokok boleh dapatkan nasihat daripada doktor pakar.

Ingatlah peraturan larangan merokok ini bukan untuk menyekat hak mana-mana individu untuk bebas merokok. Perokok ada hak dan bukan perokok juga ada hak. Tetapi hak apa yang lebih baik? Hak untuk menjejaskan kesihatan diri dan orang lain atau hak menjaga kesihatan semua? Larangan ini adalah untuk semua makhluk iaitu menjaga kesihatan perokok dan kesihatan orang sekeliling.

Diharapkan menjelang 2020, orang ramai akan mematuhi larangan yang dibuat. Kesedaran perlu ada bukan setakat perokok tetapi juga pemilik premis sama ada pejabat, kedai atau restoran. Jangan kerana rokok dijual di kedai atau restoran, undang-undang dilanggar dengan tidak mempedulikan tabiat merokok di premis berkenaan. Notis LARANGAN MEROKOK jangan hanya hiasan dinding atau kaunter.

Didik perokok mematuhi larangan merokok dan mereka hanya dibenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka. Ingat pemilik premis makanan juga tidak terlepas daripada peraturan. Mereka juga boleh didenda RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here