SEKUMPULAN ahli Parlimen Barisan Nasional dipercayai menghadiri mesyuarat di kediaman Timbalan Presiden PKR Azmin Ali malam tadi, disebalik khabar angin mengenai cubaan menghalang usaha memaksa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berundur.

Pertemuan itu, yang dikatakan “hanya makan malam” oleh satu sumber, dihadiri bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein dan sekitar 20 ahli Parlimen BN, menurut sumber-sumber yang dekat dengan FMT.

Terdapat beberapa kenderaan dilihat di kawasan itu, antaranya sebuah Toyota Alphard warna putih dan beberapa Proton Perdana warna hitam, serta beberapa pengawal peribadi dan anggota polis.

Pertemuan ini selepas kekalahan besar Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Tanjung Piai pada Sabtu, yang mana calon BN, Wee Jeck Seng dari MCA dipilih dengan majoriti besar 15,086 undi.

Tidak lama selepas pilihan raya itu, pengulas politik mula menyeru Mahathir memberi laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, seperti yang dipersetujui oleh PH sebelum pilihan raya umum 2018.

Mahathir masih samar-samar mengenai bila beliau akan serah kuasa kepada Anwar, manakala Anwar menegaskan beliau akan mengambil alih kuasa dalam tempoh dua tahun PH memerintah.

Azmin, yang berselisih dengan Anwar, dikatakan disukai Mahathir, yang memilihnya sebagai menteri hal ehwal ekonomi semasa beliau masih menteri besar Selangor.

FMT sedang mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut daripada kumpulan Azmin.

Sementara itu, pada 11 malam, beberapa ahli Parlimen dilihat meninggalkan “hanya makan malam” itu antaranya Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib.

Mereka enggan melayan pertanyaan pemberita mengenai pertemuan malam ini.

“Biasalah datang bincang dengan menteri,” kata Ismail.

“Rumah saya dekat sini. Datang makan-makan,” kata Ramli.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin juga dilihat meninggalkan kediaman Azmin pada 11.35 malam. Beliau dipercayai individu terakhir meninggalkan kediaman.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/11/18/azmin-dipercayai-dalam-pertemuan-dengan-ahli-parlimen-bn/
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here