NASIHAT… Umat Islam di Brunei diperingatkan untuk tidak bergantung kepada seseorang yang menggunakan ilmu sihir kerana dibimbangi boleh berisiko merosakkan akidah mereka sendiri.

Demikian nasihat tegas Mufti Kerajaan Brunei, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato’ Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dipetik oleh media tempatan.

Peringatan itu disampaikan beliau dalam ‘Kuliah Bersama Mufti’ di Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut dekat Bandar Seri Begawan, kelmarin yang sentuh mengenai isu rawatan sihir.

“Semua itu adalah sesat dan dilaknati Allah. Malah ia boleh juruskan sesiapa yang percayainya kepada kufur, keluar daripada agama Islam dan amalannya tidak diterima oleh Allah SWT.”

MUFTI brunei semasa menyampaikan kuliah mengenai perubatan menggunakan sihir yang dilaknati Allah SWT. – Gambar Jabatan Mufti Brunei.

Mengulas lebih lanjut, Abdul Aziz menjelaskan bahawa kebanyakan orang yang rawat dengan sihir ini kelazimannya menggunakan patung dan mantera untuk panggil jin dan syaitan bantu.

Dalam kuliahnya, beliau beri contoh tulisan seorang ulama yang wanita Muslimah cenderung cari bomoh daripada kalangan ketua agama lain bagi memohon rawat ‘sakit dalaman’ suami mereka.

Golongan isteri itu mahu diubat pasangan mereka kerana didakwa suka berfoya-foya dan abai rumah tangga bahkan mereka sanggup berbelanja besar untuk perubatan bomoh tersebut.

Abdul Aziz menjelaskan bahawa percaya kepada ahli sihir ini bukan sahaja cakapnya yang suka menilik perkara ghaib, malah mengakui boleh tolak bahaya dengan melakukan perbuatan ganjil.

“Ini seperti menanam patung atau besi atau apa sahaja benda tertentu di halaman rumah kita, nanti dengan benda-benda ini konon tertolaklah segala bencana atau bahaya,” katanya kesal.

Justeru, beliau seru umat Islam di Brunei tidak berubat dengan ahli sihir waima usah berkawan sama ada pergi berkunjung ‘saja-saja’ atau senang hati menerima tawaran ahli sihir tersebut.

Akidah mereka jelas mufti berkenaan, boleh rosak binasa atau amalan ibadat tidak akan diterima langsung kerana ada berhubungan dengan bomoh tersebut untuk rawatan penyakit dalaman.

Sebaliknya Abdul Aziz menggalakkan masyarakat Islam berikhtiar melalui perubatan moden, alternatif dan lama seperti menggunakan herba daripada tanaman atau akar kayu tertentu.

Rasulullah SAW sendiri ada anjur agar guna surah pendek terutama Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas agar sesebuah keluarga itu dilindungi daripada segala kejahatan makhluk dan penyakit.

ANTARA jemaah perempuan yang hadir pada ceramah itu. – Gambar Jabatan Mufti Brunei.

Cara itu terang beliau, berdasarkan kisah sahabat baginda, Abdullah bin Habib diajar Nabi Muhammad SAW amal baca tiga surah itu sebagai kubu pelindung malah ubat bagi dirinya.

Mufti itu menambah, ada banyak ubat lain termasuklah sering lafaz Assalamualaikum, Bismillah dan Alhamdulillah agar jadi kubu hindari syaitan daripada mudah bertapak dalam rumah tangga.

Ketika dilanda masalah ujar Abdul Aziz, jangan cepat pergi kepada bomoh, dukun dan tukang tilik kerana ia hanya akan undang laknat Allah SWT dan dosa kepada pengamalnya.

Beliau mengakhiri kuliahnya dengan dedah ubat untuk masalah rumah tangga hanyalah kembali kepada Tuhan, dapatkan nasihat atau panduan daripada mereka yang pakar dan alim ulama.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here