‘Taring’ Harimau Malaya tajam – jurulatih Indonesia

0
313
SAFAWI Rasid (kiri) meledakkan rembatan kidal kencang yang menghasilkan gol pertama Harimau Malaya menentang Indonesia, semalam. - Foto FAM

Oleh KAKI BANGKU

HARIMAU Malaya bermain dengan corak yang mudah tetapi tajam dalam penyudahan sedangkan Indonesia menanggung padah atas dua kesilapan kaptennya, Yanto Basna lalu tumpas 2-0.

Pemain kelahiran Sorong, Papua Barat ini mengasari dan ‘menghadiahkan’ Safawi Rasid dengan sepakan percuma yang menumpaskan penjaga gol, Muhammad Ridho dari luar petak penalti pada minit ke-30.

Yanto sekali lagi menghampakan penyokong Merah Putih yang bertandang ke Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan sikap ambil mudahnya berdekatan gawang sehingga Safawi mendapat ‘bola tanggung’ dengan gol kedua, minit ke-73.

Kesilapan gol kedua itu mengimbas semula kelalaian Maman Abdurrahman dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF 2010 di gelanggang sama yang menyaksikan Malaysia membenam Indonesia 3-0.

Maman yang cuba membiarkan bola keluar, ditewaskan dengan kelicikan Norshahrul Idlan Talaha sehingga penyerang Malaysia itu mengumpan bola kepada Safee Sali untuk merembat masuk.

KEDUDUKAN mata Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023 sebelum bersambung Mac tahun depan

“Kami sudah bermain sesuai dengan apa yang direncanakan dan ertinya, seluruh pasukan sudah bekerja keras yang saya amat hargainya.

“Namun kami menanggung dua kesalahan sendiri dalam kedua-dua gol itu. Pasukan Malaysia bermain corak yang mudah dan lebih tajam,” akui jurulatih Indonesia, Yeyen Tumena.

Kemenangan ini merupakan yang ke-37 buat Malaysia dalam rekod 97 pertembungan dua jiran Nusantara yang sentiasa berseteru hebat di gelanggang bola sepak sejak 7 September 1957.

Selain perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu, kedua-dua pasukan pernah seri sebanyak 21 kali manakala selebihnya dimenangi Indonesia, 39 kali.

Yeyen juga pasti terkilan dengan kegagalan Febri Hariyadi menyudahkan peluang ketika hanya berdepan Khairulazhan Khalid pada minit ke-19 selain sepakan penalti Osas Marvellous Ikpefua yang ditangkap kemas Farizal Marlias, minit ke-81.

Senyuman lebar sebaliknya menghiasi wajah Tan Cheng Hoe dengan kemenangan kedua berturut-turut dalam tempoh lima hari selepas menjinakkan ‘Si Gajah Perang’ Thailand 2-1, juga di Bukit Jalil, Khamis lalu.

Dengan mengumpul sembilan mata, skuad negara kini melonjak dari tempat keempat ke belakang pendahulu kumpulan, Vietnam yang terikat tanpa jaringan dengan Thailand di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, semalam.

“Kekuatan mental dan permainan berkeyakinan kita mengatasi masalah pemain yang tampak letih sedangkan lawan lebih segar kerana tidak bermain (Khamis lalu).

“Kepada pasukan, pesan saya ialah jangan berhenti di sini dan teruskan perjuangan. Setiap perlawanan itu berbeza dan kita kena bersedia dan sentiasa meningkat apabila menghadapi baki tiga aksi kelayakan (tahun depan),” katanya.

Harimau Malaya hanya akan kembali menyambung pemburuan tiket pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan pusingan akhir Piala Asia secara automatik dengan bertandang ke Amiriah Arab Bersatu (UAE), 26 Mac ini.

Lima hari kemudian, Cheng Hoe & Co. di Bukit Jalil bakal menanti kunjungan ‘Si Naga Emas’ Vietnam untuk melunaskan dendam kekalahan 1-0 di Hanoi, 10 Oktober lalu sebelum menghitung nasib muktamadnya di Thailand, 9 Jun depan.

TIM Harimau Malaya mengelilingi padang memberi penghormatan kepada para penyokong selepas menewaskan Indonesia dalam Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil malam tadi 19 Nov 2019.

Satu dua iktibar daripada kesilapan yang dikesan semalam kata Cheng Hoe ialah kelekaan anak-anak buahnya dalam hantaran bola dan asakan terutama dalam 45 minit pertama selain menurunkan Akhyar Rashid dalam kesebelasan utama.

Sayap kiri Johor Darul Ta’zim berusia 20 tahun itu bagaikan hilang punca dan gementar dalam perlawanan sebesar ini malah kawalan bola longgarnya nyaris dihukum dengan gerakan pantas Greg Nwokolo dan Hariyadi.

“Bukan mudah baginya mengharungi sebuah perlawanan besar tetapi dia kena belajar satu hari nanti dia kena main kesebelasan utama. Dia tidak boleh selalu fikir dia hanya pemain simpanan,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here