Undang-undang wakaf mampu atasi kemelut dengan pewaris

0
196

Oleh ARRAZAQ NAZRI

POTENSI wakaf amat besar dalam membangunkan ekonomi umat Islam di Malaysia tetapi sering kali usaha berkenaan berdepan dengan isu tuntutan pewaris.

Wakaf merupakan satu bentuk ibadah yang melibatkan orang Islam menyumbang harta benda untuk faedah ummah.

Cadangan untuk menggubal undang-undang wakaf bagi memastikan ia diurus dengan sempurna di seluruh negara merupakan satu langkah terbaik.

Laporan sebelum ini memetik Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh sebagai berkata, penggubalannya kini berada di peringkat akhir merupakan satu perkembangan yang baik dan menggembirakan.

Dengan adanya pendaftaran harta wakaf maka isu perebutan hak milik tanah oleh pewaris dapat diselesaikan dengan segera tanpa polemik berpanjangan, sekali gus membolehkan pembangunan yang dirancang tidak terjejas.

Sudah sewajarnya amalan wakaf perlu diuruskan secara sistematik dan profesional seperti zakat bagi memudahkan hartanah yang diwakafkan dapat diselenggarakan dengan sebaiknya dan bebas daripada tuntutan daripada pewaris.

Kebiasaan isu tuntutan tersebut berlaku disebabkan pihak yang menerima mandat untuk menjaga hartanah meninggal dunia, yang menyaksikan terputusnya segala bukti penyerahan oleh pewakaf yang dibuat sejak bertahun-tahun lamanya.

Berikutan tuntutan oleh pewaris, terdapat harta wakaf yang terbiar begitu sahaja tanpa dapat dimanfaatkan kerana kes berkenaan di bawa ke mahkamah.

Keadaan ini merugikan bukan hanya mereka yang bakal mendapat manfaat daripada harta yang hendak diwakafkan tetapi juga pihak yang mewakafkannya. Ini kerana ganjaran berwakaf menawarkan pahala yang berpanjangan dari saat harta wakaf dimanfaatkan.

Sejauh mana wajarnya, harapan pewakaf menjadi terbantut disebabkan ketiadaan saksi hidup yang mengetahui transaksi wakaf telah berlaku, berikutan ketidakwujudan pendaftaran di mana-mana institusi.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Antarabangsa Al Madinah (Mediu), Prof. Dr. Wan Sulaiman Wan Yusof menyetujui bahawa wakaf adalah instrumen untuk umat Islam mempertingkatkan ekonomi dunia dan akhirat.

Bahkan Mediu merupakan universiti wakaf yang disasarkan untuk turut melahirkan para ilmuwan yang juga pewakaf tegar.

Wan Sulaiman juga percaya masalah tuntutan daripada pewaris adalah masalah teknikal semata-mata dan penambahbaikan sistem pendaftaran wakaf oleh pihak berkuasa akan mampu menjadikan pelaksanaannya lebih profesional.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here