FOTO: NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN
Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH
ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan berjumlah sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri.
Berita baik yang amat dinantikan itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal semasa membentangkan Belanjawan Johor 2020, hari ini.
Beliau berkata, bantuan kewangan itu akan dibayar sebanyak dua kali, iaitu sebelum akhir tahun ini dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun depan.
“Bantuan khas kewangan ini turut dipanjangkan kepada kakitangan kerajaan negeri dan kakitangan awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri juga kepada semua Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, Yang Berhormat Speaker Dewan Negeri Johor, Yang Berhormat Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor, dan Yang Berhormat Ahli-Ahli Jumaah Majlis Diraja Johor.
“Turut terlibat ialah Ahli-Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ), Guru-guru KAFA, Petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Guru-guru Tadika Islam Johor (TAJ),” katanya.
Katanya, bantuan khas ini melibatkan peruntukan kewangan RM34.78 juta akan memberi manfaat kepada seramai 13,400 kakitangan awam.
-BebasNews

Luqman Haziq Abdullah..memulakan kerjaya sebagai Wartawan Eksekutif di Bernama pada tahun 1997 dan pernah dilantik sebagai Ketua Biro Bernama Negeri Sembilan. Menyertai Utusan Malaysia sebagai Penolong Pengarang Berita dan pernah dilantik sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia Johor