Bunga Raya sah kekal Divisyen Perdana ARC 2020

0
214
AKSI Bunga Raya (jersi biru) ketika menentang Hong Kong dalam ARC 2019, Mei lalu.

Oleh KAKI BANGKU

SI Bunga Raya sah kekal beraksi dalam Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2020 tanpa perlu bermain play-off dengan juara Divisyen Satu, Filipina sekalipun menghuni tempat corot musim ini.

Berita gembira ini disahkan oleh Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya yang menghadiri mesyuarat Majlis Ragbi Asia (AR) di Bali, Indonesia, Ahad lalu.

Status quo buat skuad negara juga dicapai memandangkan Jepun memilih untuk tidak kembali ke Divisyen Perdana ARC setelah mengesahkan tiket ke Ragbi Piala Dunia (RWC) 2023 di Perancis.

Sakura yang mara ke suku akhir edisi kesembilan RWC di tanah airnya, akhir bulan lalu dengan mengejutkan Ireland dan Scotland, jelas terlalu unggul buat Asia apatah lagi dengan ranking kelapan dunia miliknya sekarang.

“Filipina pula sebagai juara Divisyen Satu ARC, memutuskan untuk tidak mencabar Malaysia bagi play-off ke Perdana. Jadi AR umum, Malaysia kekal main Divisyen Perdana 2020,” kata Shahrul kepada BebasNews.

Jelasnya, Filipina difahamkan menghadapi cabaran besar dalam menghimpunkan pemain-pemain mereka yang 80 peratus daripadanya berpangkalan di luar negara.

“Mereka ini merupakan pemain yang mempunyai dwikerakyatan yang dibenarkan di bawah undang-undang Filipina,” katanya.

SHAHRUL ZAMAN YAHYA

Bunga Raya menghuni tempat corot Divisyen Perdana 2019 selepas kalah kesemua perlawanan dengan Korea Selatan (52-14 dan 38-16) dan Hong Kong (30-24 dan 71-0) di Incheon, Bukit Jalil dan Hong Kong pada Mei hingga Jun lalu.

Namun skuad negara berhak dipuji kerana musim 2019 Divisyen Perdana hanyalah merupakan penampilan kedua mereka malah tetap berjaya meraih mata sulung bersejarah kerana kalah tipis di Hong Kong.

Skuad ini dibimbing Bradley Moni Mika dari New Zealand.

Dia kini kembali melatih Sabah yang cuba mempertahankan Piala Agong dalam perlawanan akhir dengan Terengganu di Serdang, Sabtu ini sekali gus gelaran keenamnya sejak kejohanan kebangsaan ini diperkenalkan pada 1983.

“Sama ada KRM akan kekalkan khidmat Mika bagi persediaan menghadapi ARC 2020, akan kami umumkan selepas Piala Agong yang dijadikan medan pemilihan pemain-pemain negara,” katanya.

Soal kewangan dan pembiayaan pasukan tegasnya, masih menjadi faktor utama yang akan mempengaruhi sejauh mana persediaan dalam membentuk Bunga Raya ke arah ARC 2020.
KRM katanya, tetap mahu melihat kemajuan Bunga Raya sekali gus mengikis label ‘budak belasahan’ Divisyen Perdana namun hampir segala-galanya sekarang menuntut pelaburan kewangan yang agak besar.

“Piala Agong digunakan sepenuhnya sebagai proses pemilihan pemain-pemain negara dengan ketua jurulatih perlu membuat perancangan persiapan pasukan selepas kejohanan itu.

“Sebuah kejohanan, Ragbi Pesat Global, Mac ini dengan sebuah pasukan di ibu kota diharap mampu memberikan pendedahan profesional dalam meningkatkan mutu permainan Bunga Raya apabila bersaing dalam ARC,” jelasnya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here