FDAM mahu ‘memperkasakan’ maruah pengarah

"Ini semua kerja gila! FDAM berharap pihak berkenaan menghormati etika kerja seorang pengarah yang sentiasa mementingkan kualiti bukan kuantiti."

0
440
DUDUK dari kiri: AJK FDAM Ahmad Hashim, Zaini Hassan, Ahmad Ibrahim, Zaki Haji Abdul Rahim, Asri Alias. BERDIRI dari kiri: Suhaimi, Mior Najib, Hashim Rejab, Salim Saifuddin, Faizal dan Malik Rahman.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

WALAUPUN AJK lama telah dibubarkan kerana kemelut isu dalaman FDAM namun bagi Presiden baru, Ahmad Ibrahim beliau tetap menghormati bekas presidennya.

Bagi Dr. Ahmad Ibrahim, selama tujuh tahun bermula 31 Mac 2012, menerajui FDAM, Othman Hafsham telah melaksanakan tugasnya dengan baik apabila beliau melepaskan jawatan itu kerana masalah peribadi.

“Tetapi apa yang berlaku Ahad lalu adalah demi kebaikan semua ahli FDAM dan tiada istilah menggulingkan Presiden dan AJK lama.

“Saya menghormati Hafsham kerana ketika melepaskan jawatan itu tujuh tahun lalu, saya mencadangkan beliau kerana latarbelakangnya sebagai pengarah berpengalaman dalam bidang iklan, filem dan drama TV. Tetapi kadangkala tanpa kita sedar orang-orang yang hampir dengan kita menjejaskan kredibiliti kita,” kata Ahmad Ibrahim atau dikenali Mat London.

BEKAS Presiden FDAM, Othman Hafsham bersama AJKnya sebelum melepaskan jawatannya pada AGM ke-22, di Pawangam Mini P.Ramlee, Finas, Hulu Kelang.

Pada AGM ke-22 Ahad lalu yang berlangsung di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS, Hulu Kelang, antara yang dibincangkan ialah isu masalah dalaman Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dengan meminta AJK lama melepaskan jawatan dan diambil alih oleh Kumpulan Solidariti FDAM.

Kumpulan berkenaan telah memilih AJK baru untuk tempuh dua bulan dengan diketuai oleh Ahmad Ibrahim sebagai Presiden dan Timbalannya, Zaki Abdul Rahim dengan dibantu Loganathan a/l Kanabaty, Mohd. Zaini Hassan, Khalil Salleh, Ahmad Hashim, Datuk Zulkifli M. Osman, Roslainur Roslan, Sofea J Rhyland dan Siti Fairuzah.

Bagaimanapun pada Isnin lalu, Ahmad telah ke Pejabat ROS dan beliau diberitahu AJK baru itu sah sehingga Mesyurat Agong Tahunan (AGM) FDAM pada September tahun depan.

“Alhamdulillah kerana kini apa yang menjadi matlamat kami ialah memperkasakan FDAM demi kebaikan ahli kami lebih 400 orang,” kata Ahmad Ibrahim.

Bagi memastikan apa yang dirancang itu memberi kebaikan kepada ahlinya pelbagai program dan aktiviti telah diatur antaranya mengadakan latihan dan kelas pengarahan, seminar, forum, lawatan mesra ke FINAS, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, stesen TV dan Produser.

“Walaupun ‘meninggalkan jawatan’ di FDAM, tetapi saya mengikuti dilema yang melanda bidang pengarahan dan ia merupakan satu penghinaan kepada kami.

“Sebagai pengarah lama saya tetap mengalu-alukan kehadiran pengarah muda tetapi saya berharap sama ada stesen TV dan produser cuba berlaku adil dalam pengagihan kerja.

“Apa salahnya jika satu projek drama 60 hingga lebih 100 episod diberi tugas pengarahan kepada tiga atau empat pengarah kerana pengarah kita ramai.

“Selain itu dalam pengagihan drama episod janganlah syarikat penerbitan yang dah kaya semakin kaya, syarikat kecil menjadi miskin.

“Mungkin apa yang saya katakan ini membuatkan stesen TV dan produser marah dan saya disenaraihitamkan tetapi memang pahit apabila kita bercakap benar.

ZAKI Abdul Rahim ‘membongkar’ kemelut isu dalaman AJK FDAM lama di AGM ke-22, di Finas, Ahad lalu.

“Sikap tidak adil pihak stesen TV dalam pengagihan waktu penerbitan drama membuatkan satu syarikat penerbitan yang dah kaya semakin kaya raya sementara 10 syarikat penerbitan yang susah semakin miskin!” kata Ahmad Ibrahim.

Menurut beliau, sesuatu yang harus dihormati apabila bercakap tentang tugas seorang pengarah, mereka adalah ‘bos’ ketika di lokasi penggambaran.

Sayangnya, situasi hari ini sikap segelintir produser yang suka mengganggu tugas kerja pengarah di set, sikap stesen TV yang hanya memilih pelakon dan pengarah yang mereka suka menghina etika kerja pengarah!

“Suatu waktu dulu, pengarah yang menentukan pelakon kerana hanya mereka yang tahu sama ada pelakon itu sesuai atau tidak, tetapi hari ini semua ditentukan oleh pihak stesen TV berdasarkan populariti artis itu di media sosial.

“Bukan itu sahaja, hari ini ada pelakon lelaki yang menentukan pengarah dan pasangannya dalam drama yang ditawarkan oleh pihak penerbit!

“Ini semua kerja gila! FDAM berharap pihak berkenaan menghormati etika kerja seorang pengarah yang sentiasa mementingkan kualiti bukan kuantiti.

“Inilah antara isu-isu berkaitan tugasan pengarah yang akan kami bincangkan ketika kunjungan hormat ke FINAS, Kementerian, stesen TV dan produser selain isu pengisian dan kualiti sesebuah drama dan bayaran setimpal untuk tugas pengarah,” tegas Ahmad.

Menurut beliau, senario hari ini bayaran pelakon utama lelaki atau perempuan sama ada drama episod atau cerekarama melebihi bayaran pengarah yang tugasnya bermula dari sebelum shooting, ketika shooting dan editing!

Ahmad Ibrahim yang kini bertugas sebagai pensyarah peringkat sarjana dalam bidang kreatif di UiTM sejak 2004 dan telah menulis dua buah buku “Film Direction” dan “Kompetensi Seorang Pengurus Produksi” memberitahu;

“Selain kursus dalam negeri, FDAM juga akan menghantar pengarah yang dipilih menghadiri kursus jangka pendek ke Korea, Jepun dan China dalam melahirkan pengarah bertaraf antarabangsa!

“Ini bukan angan-angan Mat Jenin tetapi inilah perancangan FDAM dan semua ini akan kami bincangkan dalam mesyuarat pertama kami esok selain menggariskan 10 manifesto demi memperkasakan FDAM dan kami berharap ia bukan sahaja mendapat sokongan ahli malah kerajaan!

“Apabila apa yang dirancang oleh FDAM untuk ahlinya tercapai, saya akan mengundur diri. Saya dah tua. Umur saya dah 71 tahun dan saya mahu perjuangan ini akan diteruskan oleh orang-orang muda.”

Sementara itu, bekas Presiden FDAM, Othman Hafsham ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here