FOTO: Wikimedia Commons.

Oleh ARRAZAQ NAZRI

 

KISAH kereta terbang terus menjadi bualan ramai dan juga peluru digital tentera siber lawan terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Usaha Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof menguji sendiri kenderaan futuristik bernilai AS$30 juta atau RM 125.62 juta, ternyata tidak kesampaian.
Alasan pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak meluluskan ujian penerbangan UAS E-Hang 216 (EH216) atau ‘kereta terbang’ kerana lokasi percubaan penerbangan di hangar UNIKL MIAT Subang iaitu kurang 200 meter dari laluan trafik pesawat dan helikopter komersial, sememangnya wajar.
Agak peliknya bagi usaha niaga yang nilaiannya jutaan, perancangannya dibuat seolah-olah ala kadar sahaja.
Tidakkah penganjur tidak mengetahui bahawa lokasi yang dinyatakan jelas dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang di bawah penyeliaan yang ketat oleh Pusat Kawalan Trafik Udara.
Kalau dron yang kecil pun tidak dibenarkan terbang di kawasan tersebut, apatah lagi kereta terbang. Tidak tahulah jika pelancaran itu sekadar gimik semata-mata, sekali gus seperti mengesahkan dakwaan konon projek berkenaan tidak akan berjaya.
Tidak dinafikan bahawa projek berkenaan merupakan milik swasta tetapi perlulah dilaksanakan dengan cekap kerana ia turut memperlihatkan kewibawaan kerajaan semasa yang telah merudum di mata masyarakat tempatan dan luar.
Kalau masalah yang kecil pun tidak mampu ditangani, bagaimana hendak ditarik minat pelabur dari luar negara.
Hasrat menteri sebelum ini untuk melihat budaya inovasi terus dijulang sememangnya patut dipuji namun beliau perlu memastikan apa juga projek yang disokong untuk dilaksanakan akhirnya tidak meranapkan imej dan reputasi sendiri.
Sebenarnya bukan beliau dan pengkritiknya yang mungkin kecewa dengan pelancaran yang terpaksa ditunda, begitu juga orang ramai yang sudah tidak lagi larat untuk mengharungi kesesakan lalu lintas yang tiada kesudahan biarpun bertukar kerajaan.
– BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here